Manfaatkan surau pada hari Jumaat

SOLAT Jumaat di masjid mana? Itulah persoalan mingguan sejak Covid-19 melanda dan jumlah kehadiran jemaah sama ada di masjid dan surau dihadkan di negeri tertentu. Sebulan hanya sekali solat di kariah sendiri.

Giliran seterusnya untuk solat di masjid kariah sendiri adalah minggu keempat selepas minggu pertama mendapat slot – siapa cepat dia dapat.
Begitulah rutin mingguan norma baharu kehidupan dalam soal ibadat.

Mungkin di sesetengah negeri situasi berbeza. Di Selangor, masjid, surau Jumaat dan surau masih mengehadkan jumlah jemaah. Maka setiap minggu berlumba-lumbalah jemaah mencari ruang untuk solat Jumaat.

Ada juga baiknya peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berhubung solat Jumaat ini, khususnya kehadiran awal berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Pukul 12 sudah ada di depan masjid, malahan ada yang lebih awal. Besar ganjarannya menghadirkan diri lebih awal pada hari Jumaat seperti terkandung dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (seperti) mandi janabah lalu segera ke masjid, maka seakan-akan berkorban dengan unta, sesiapa yang pergi pada masa yang kedua, maka seakan-akan dia berkorban dengan lembu, dan sesiapa pergi pada masa yang ketiga, maka seakan-akan dia berkorban dengan biri-biri jantan yang bertanduk, dan sesiapa yang pergi pada masa yang keempat seakan-akan dia berkorban dengan seekor ayam, dan sesiapa yang pergi pada masa kelima, maka seakan-akan dia berkorban dengan sebiji telur dan apabila imam telah keluar (untuk berkhutbah) maka para malaikat turut hadir untuk mendengar peringatan (khutbah)”.

Mungkin selama ini kebanyakannya hanya memperoleh ganjaran seekor ayam atau sebiji telur tetapi waktu pandemik ini, ramai yang mendapat unta.

Walaupun dalam keadaan terpaksa, sekurang-kurangnya dapat menggerakkan usaha jemaah untuk beriktikaf lebih lama di masjid, mendengar tazkirah atau membaca al-Quran sementara masuk waktu.

Tetapi sampai bila situasi ini harus dihadapi? Kita tidak tahu bila pandemik berakhir dan bila PKP ditamatkan. Sampai bila setiap minggu, jemaah terpaksa bertebaran keluar awal mencari ruang kosong solat Jumaat.

Ada yang terpaksa berpatah balik, pulang ke rumah untuk solat zuhur sahaja selepas pintu masjid atau surau Jumaat ditutup kerana cukup bilangan jemaah. Benar masjid luas, ada ruang tetapi SOP menetapkan demikian.

Kadang kadang terfikir juga dalam norma baharu ini, lebih baik masjid yang banyak, bukannya masjid yang besar. Ini kerana masjid besar yang luas masih dihadkan kepada jumlah jemaah tertentu, sekitar 400 atau 450 sedangkan kapasitinya masih mampu menampung dua atau tiga kali ganda.

Memang benar, jika ada ‘halangan’ tidak perlulah solat Jumaat tetapi dalam hal ini, halangan itu hanyalah kerana ruang terhad. Sesetengah orang akan rasa terkilan jika tidak solat Jumaat.

Maka mereka termasuk warga emas akan terus mencari peluang dan ruang walaupun terpaksa merentas daerah dan negeri.

Alangkah baiknya jika pihak berkuasa dapat memberi pertimbangan kepada surau-surau mengadakan solat Jumaat. Sekurang-kurangnya dapat mengatasi kekurangan ruang. Banyak surau yang mampu mengadakan solat Jumaat ini. Hanya menunggu ‘lampu hijau’ pihak berkuasa sahaja.

Lebih-lebih lagi menjelang Ramadan ini, eloklah jemaah diberi peluang untuk solat Jumaat di tempat sendiri tanpa perlu ke sana ke sini ke sana ke sini.

Ada negeri yang memberi ruang seluas-luasnya kepada surau untuk mengadakan solat Jumaat kerana penjarakan fizikal menyebabkan ruang solat terhad. Malahan di Singapura, ada masjid yang menjalankan dua sesi Jumaat bagi memberi peluang kepada lebih ramai jemaah.

Sempena Ramadan ini, lakukanlah sesuatu untuk memudahkan orang ramai beribadah. Sesuai dengan norma baharu, manfaatkan surau yang ada untuk solat Jumaat. Tetapkan SOP yang ketat jika pihak berkuasa masih meragui kebenaran yang diberikan.

Dan lebih penting, pada masa yang sama lebih ramai dapat sama-sama mendoakan kesejahteraan negara pada hari yang penuh keberkatan ini.

Related posts

Leave a Comment