Pengimarahan Ramadan di Perlis

KANGAR 7 April – Solat tarawih di Perlis boleh dilakukan dalam dua sesi bagi mengelakkan limpahan kehadiran jemaah sepanjang bulan Ramadan ini.

Sesi pertama boleh dilakukan pada pukul 9 malam sehingga 10.30 malam, manakala sesi kedua mulai 10.30 malam sehingga 12 tengah malam.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, aktiviti mengimarahkan masjid dan surau  perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, aktiviti yang dibenarkan adalah seperti solat sunat witir, tazkirah, tadarus, iftar, gotong-royong, qiamullail dan pengagihan sumbangan.

Dalam satu kenyataan, Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah masjid dan surau tidak dibenarkan menjemput imam dari luar Perlis kecuali telah mendapat kebenaran khas daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Baginda bertitah, warga asing juga dibenarkan solat tarawih kecuali Individu Dalam Siasatan (PUI) dan Individu Yang Dijangkiti Penyakit Berjangkit (PUS).

Menurut baginda aktiviti di masjid hendaklah ditamatkan sebelum 12.30 tengah malam bagi melakukan proses pembersihan dan nyah kuman.

“Masjid akan dibuka semula pada 4.00 pagi, namun pada 10 hari terakhir Ramadan masjid akan dibuka pada 3.00 pagi,” titah baginda.

Selain itu, titah baginda hanya jemaah yang berdaftar dengan jawatakuasa kariah masjid, dibenarkan beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan dengan syarat melakukan penjarakan fizikal lima meter.

Jemaah juga digalakkan membawa mushaf sendiri jika ingin membaca al-Quran atau gajet elektronik masing-masing dan digalakkan membawa uncang pembungkusan kasut untuk mengelakkan kesesakan di pintu masuk ketika keluar.

Related posts

Leave a Comment