68 Geng Nicky ditangkap

KUALA LUMPUR: Polis menangkap 68 orang yang dipercayai merupakan ahli Geng Nicky yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, semua individu tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah penggubahan wang haram.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut, anggota polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 17 bersama satu kelopak peluru berisi sembilan butir peluru

Pihak polis juga telah membekukan 41 akaun bank bernilai RM4,053,809.49 dan 35 unit kenderaan bernilai RM8,863,759.00 melibatkan 21 individu dan 16 entiti.

“Ia termasuk Yayasan Winner Emperor Sedunia dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia dibawah seksyen 44 (1) AMLATFPUAA 2001.

“Tindakan lanjut menjejak dan membekukan aset-aset berupa tanah, rumah dan bangunan sedang dijalankan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Turut dirampas adalah wang tunai dari pelbagai negara berjumlah lebih RM700,000 dan 16 buah kereta mewah dianggarkan bernilai RM6.67 juta.

Nicky Liow mempunyai sejumlah 12 kesalahan lampau bersabit dadah dan jenayah kekerasan termasuk kes memukul anggota Rela pada 27 Oktober 2017.

Hasil yang diperoleh daripada soal siasat awal, pihak polis telah mengenal pasti penglibatan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa dan beberapa VVIP kenamaan yang bersekongkol bersama Geng Nicky.

Katanya pihak Task Force IPK Johor akan membuat tangkapan susulan dalam waktu terdekat ini.

Ditanya berkaitan Nicky Liow, Abdul Hamid menegaskan lelaki tersebut masih belum diberkas dan kini sedang bersembunyi.

“Saya percaya dia masih ada di dalam negara sebab rangkaiannya telah lumpuh dan adiknya pun kita dah tangkap,” katanya.

Related posts

Leave a Comment