PKPD di dua lokasi, Kelantan, Perak

KUALA LUMPUR 28 Mac – Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Jagaan Rohaniah, Sekolah Integrasi Ikhwan, Kg. Gong Kulim, Mukim Semerak, Pasir Puteh, Kelantan bermula 29 Mac sehingga 11 April ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penghuni serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dengan sebanyak 25 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Tapah, Batang Padang, Perak bermula 30 Mac sehingga 12 April 2021 kecuali Kuarters Kakitangan Penjara Tapah yang ditamatkan pada 29 Mac 2021.

Ia berikutan KKM mengesahkan masih berlaku jangkitan yang melibatkan tahanan dengan 27 kes positif terakhir dilaporkan pada 25 Mac 2021.

Walau bagaimanapun, peningkatan kes ini tidak melibatkan anggota serta ahli keluarga yang tinggal di kuarters kakitangan penjara tersebut.

Kerajaan juga bersetuju menamatkan PKP di Daerah Nabawan, Sabah pada 30 Mac

2021 seperti yang dijadualkan.

KKM mengesahkan baki kes positif di daerah ini menunjukkan trend penurunan, kluster terkawal serta kes terakhir yang dilaporkan pada 26 Mac sebanyak satu kes.

PKPD di Pulau Tioman, Rompin, Pahang pula ditamatkan pada 29 Mac seperti dijadualkan kecuali di Kampung Juara yang dilanjutkan tempoh PKPD bermula 30 Mac sehingga 6 April 2021.

Sehingga kini, 1,340 ujian saringan telah dilaksanakan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 55 kes positif direkodkan.

Walaubagaimanapun, KKM mengesahkan terdapat kes-kes baharu dikesan dalam kalangan penduduk Kampung Juara di pulau ini dengan 32 kes positif  dilaporkan setakat ini manakala terdapat baki sampel saringan sejumlah 32 yang sedang menunggu keputusan.

PKPD di Kampung Bintawa Ulu dan Tengah, Kuching, Sarawak turut ditamatkan pada 30 Mac 2021.

Related posts

Leave a Comment