Covid-19: Waspada gelombang ketiga

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengingatkan rakyat negara itu supaya terus berwaspada dan mengambil langkah pencegahan bagi menghadapi sebarang kemungkinan gelombang ketiga penularan Covid-19.

“Kita perlu sentiasa berhati-hati dengan kemunculan gelombang ketiga. Seperti yang (ketua penasihat perubatan kerajaan) Chris Witty katakan, dukacita, kita menyaksikan peningkatan kes di Eropah,” katanya.

Beliau berkata, United Kingdom (UK) telah mengambil langkah tegas di pintu sempadan termasuk mengenakan ujian saringan mandatori terhadap semua pengembara yang masuk ke negara ini.

Dalam sidang media sempena setahun perintah sekatan di negara itu, Johnson turut menyatakan terdapat beberapa perkara yang boleh dipelajari semula untuk menghadapi pandemik lain pada masa akan datang.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan pihak kerajaan akan memperincikan garis panduan sempena cuti umum menjelang 5 April nanti.

Sementara itu, sempena setahun perintah sekatan akibat pandemik Covid-19 di UK, upacara memperingati mangsa yang terkorban diadakan. Lilin dinyalakan di 10 Downing Street pada Selasa.

Petugas perkhidmatan kesihatan nasional (NHS) dan ahli-ahli Parlimen turut bertafakur selama satu minit manakala lampu di Blackpool Tower juga dinyalakan sebagai simbolik memperingati mangsa.

UK merekodkan jumlah kumulatif lebih 4.3 juta kes Covid-19 dengan lebih 126,000 kematian

Sementara itu, Johnson berkata, setiap orang yang berusia lebih 50 tahun akan mendapat dos pertama menjelang pertengahan bulan depan dan bagi yang di bawah 50, menjelang akhir Julai

Empat hari lalu, Johnson mendapat suntikan dos pertama vaksin Oxford/AstraZeneca .

Related posts

Leave a Comment