Vaksin: RM500,000 bantuan hilang upaya

PUTRAJAYA 22 Mac – Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 untuk warga tempatan dan asing yang mendapat kesan sampingan serius selepas menerima vaksin.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, bantuan khas RM50,000 untuk mereka yang menerima kesan serius yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital manakala RM500,000  untuk hilang upaya kekal atau kematian.

Menurutnya, usaha itu adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat selain meningkatkan keyakinan untuk rakyat menerima vaksin.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sini hari ini.

Dalam hubungan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan tiga jawatankuasa bagi menilai semua aspek berhubung kesan sampingan tersebut.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, sepanjang proses vaksinasi yang bermula pada 24 Februari lepas, terdapat 20 kesan sampingan yang dikesan berlaku kepada penerima vaksin.

“Ketika dalam pemerhatian, selepas mereka kenal pasti kes-kes yang merasakan kesan berterusan, mereka dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Antaranya rasa tak selesa di dada, rasa sempit di dada, ada yang semput, semua dibawa ke hospital dan dirawat.

“Semuanya telah menerima rawatan dan discaj dan tunggu dos kedua. Cuma dos kedua, mereka akan terima di hospital, bukan di tempat mereka terima sebelum ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment