Wanita pertama Presiden Tanzania

SAMIA Suluhu Hassan, 61 melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Presiden Tanzania, negara Timur Afrika itu.

Beliau mengangkat sumpah jawatan ketua negara itu di Dar Es Salam pada Jumaat 19 Mac dengan disaksikan Ketua Hakim Negara, Ibrahim Jumavowing.

Samia dilihat melafaz sumpah dengan memegang al-Quran.

Beliau menggantikan, John Magufuli yang meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sebelum ini beliau menyandang jawatan sebagai timbalan presiden sejak 2015 di negara dengan 58 juta penduduk itu.

Semasa menyampaikan ucapan pertamanya setelah dilantik sebagai presiden, beliau meminta semua pihak berhenti mencari kesalahan berhubung kematian Presiden Magufuli.

Samia mengajak rakyat bersatu serta mengatakan bahawa mereka perlu menguburkan perbezaan.

“Ini adalah masanya menguburkan perbezaan di antara kita, dan berdiri bersatu sebagai sebuah negara,” katanya.

“Ini bukan waktunya untuk saling menuding jari, melainkan untuk bergandingan tangan dan bergerak maju bersama,” katanya di depan para pegawai dan mantan pegawai, termasuk dua mantan presiden.

Beliau mengumumkan hari berkabung di seluruh negara untuk tempoh 21 hari, diikuti cuti umum pada 22 dan 25 Mac.

Tarikh itu adalah berdasarkan majlis pengebumian penyandang presiden negara itu.

Related posts

Leave a Comment