Masjid Nabawi tetapkan 60,000 jemaah

MADINAH: Sepanjang bulan Ramadan ini, jumlah keseluruhan jemaah di Masjid Nabawi ditetapkan 60,000 orang pada satu-satu masa berdasarkan langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan.

Presiden Pejabat Pentadbir Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr. Abdulrahman Al-Sudais, berkata selain solat lima waktu, solat Tarawih juga akan dijalankan.

Solat di dalam Raudah pula akan terus dihadkan kepada para pekerja dan kakitangan masjid itu serta saudara-mara jenazah dan mereka yang menghadiri upacara pengebumian, sekiranya ada kematian.

Bagaimanapun belum ada keputusan berkaitan iftar atau berbuka puasa seperti yang menjadi kelaziman di masjid berkenaan.

Masjid Nabawi akan ditutup setengah jam selepas solat Tarawih dan akan dibuka semula dua jam sebelum solat Subuh kecuali pada 10 malam terakhir Ramadan, yang akan dibuka 24 jam.

Masjid Nabawi mempunyai keupayaan operasi untuk menampung maksimum 45,000 jemaah sementara ruang baru di bahagian barat dapat menampung 15,000 jemaah.

Para jemaah dibenarkan bersembahyang di “Kawasan Hassawaat”, kawasan peluasan, bumbung dan ruang yang disediakan,  berdasarkan jumlah jemaah dan pelaksanaan langkah berjaga-jaga.

Solat di dalam Masjid Nabawi dan Raudah pula akan terus dihadkan kepada para pekerja dan kakitangan masjid itu serta saudara-mara jenazah dan mereka yang menghadiri upacara pengebumian, sekiranya ada kematian.

Pada bulan Ramadan lalu, pihak berkuasa menggantung solat Tarawih di kedua-dua masjid suci, iaitu Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, dalam usahanya membendung penularan Covid-19 di Arab Saudi. 

Related posts

Leave a Comment