52 langgar SOP PKP ditahan

KUALA LUMPUR 19 Mac – Semalam, Khamis hanya 52 individu ditahan di seluruh negara atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, 36 individu dikompaun, manakala 16 lagi dikenakan tahanan reman.

Antara kesalahan yang direkodkan ialah rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (12); tiada penjarakan fizikal (12); tiada pelitup muka (11); dan premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (11).

Selain itu, tiga kes berkaitan gagal menyediakan peralatan / merekod diri / pelanggan; manakala tiga lagi melibatkan aktiviti perjudian.

Melalui Operasi Benteng semalam, pihak berkuasa menangkap 26 orang pendatang tanpa izin (PATI) dan merampas 10 buah kenderaan darat serta empat buah bot/kapal.

Dalam operasi itu, jelasnya lagi, pihak berkuasa turut mengesan 115 buah bot/kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan dan tujuh orang PATI turut diusir menerusi dua aktiviti pengusiran.

Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata, seramai 800 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 148,623 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 78 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 6,584 individu telah dikuarantin dan 140,950 orang dibenarkan pulang manakala 1,089 lagi dibawa ke hospital,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment