Rentas negeri masih dilarang

KUALA LUMPUR 18 Mac – Larangan rentas negeri masih kekal sehingga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpuas hati dengan penurunan kes Covid-19, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, keputusan rentas negeri bergantung kepada penilaian yang dilakukan oleh KKM.

“Saya difahamkan berdasarkan penilaian, kes akan menurun kepada 500 kes pada bulan Mei kalau kita patuh pada prosedur operasi standard (SOP). Mungkin selepas itu KKM akan membuat penilaian risiko dan akan menasihati kita.

“Mana-mana yang nak balik kampung Hari Raya ini, sama-samalah berdoa,” katanya pada sidang akhbar di sini..

Ismail Sabri menjelaskan, kawalan rentas negeri perlu dilakukan secara tegas memandangkan aktiviti itu merupakan salah satu penyumbang kepada kluster-kluster baharu.

Katanya, KKM mengesan 32 kluster membabitkan balik kampung berlaku di Malaysia.

“Misalnya, Sarawak yang sebelum ini berada dalam zon hijau merekodkan kes rentas negeri sehingga hampir kesemua daerah di negeri itu menjadi merah, jingga dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau juga memberitahu, kerajaan Persekutuan tidak menghalang sebarang pindaan kecil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menentukan SOP bagi pasar termasuk bazar Ramadan dan Aidilfitri akan datang.

Bagaimanapun , tindakan oleh negeri atau PBT yang tidak membenarkan mereka menjalankan perniagaan adalah jelas tidak selari dengan keputusan kerajaan Persekutuan.

Ismail Sabri menjelaskan, undang-undang itu adalah mengikut Akta 342 KKM dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seharusnya dipatuhi.

“Pada dasarnya apa yang diumum oleh kerajaan Persekutuan perlu diikut oleh negeri atau daerah tetapi mereka boleh sesuaikan dengan keadaan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment