Kalimah Allah : Sultan Johor dukacita

JOHOR BAHRU 18 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita baginda dengan kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Baginda bertitah, selaku Ketua Agama Islam negeri Johor, baginda menyeru kepada Kerajaan Persekutuan agar meneruskan rayuan dalam prosiding ini.

Dalam kenyataan di Facebook baginda,mSuktan Ibrahim juga akan mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil apa-apa tindakan yang perlu dan wajar bagi menyokong usaha rayuan ini.

“Kalimah ‘Allah’ merupakan nama yang khusus kepada Tuhan yang disembah oleh umat Islam. Nama ‘Allah’ ini diberi oleh diri-Nya, bukan berasal daripada mana-mana akar kata, tetapi kata nama khas yang merujuk kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, Tuhan yang disembah oleh umat Islam.

Apabila timbul kembali isu penggunaan kalimah Allah untuk digunakan pada tuhan yang lain daripada maksud yang sebenar, saya merasa amat dukacita kerana perkara ini boleh menimbulkan perbalahan dan persepsi yang kurang elok terhadap keharmonian Bangsa Johor yang hidup bermuafakat di dalam satu negeri.

“Adalah perlu sensitiviti umat Islam dan kesepakatan hidup berbilang kaum dan agama ini diambil kira dalam apa jua keputusan atau penghakiman kerana isu-isu sensitif ini sangat dekat di hati saya selaku Ketua Agama Islam di Negeri Johor khususnya apabila isu tersebut berkait rapat di dalam ruang sempadan agama Islam,” titah baginda.

Malah jelas baginda, Fatwa Negeri Johor yang telah diwartakan oleh Kerajaan Johor pada 4 Jun 2009 secara jelas menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tidak diharuskan, tidak dibenarkan, serta ditegah dan dilarang.

Titah baginda lagi fatwa ini bermaksud penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang tidak bertepatan dengan maksud yang sebenarnya sebagaimana ajaran agama Islam adalah sama sekali tidak boleh dan tidak dibenarkan.

“Ia selaras dengan Firman Allah SWT dalam surah Taha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku”.

“Di negeri Johor, kita juga mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam 1991 yang melarang penggunaan kalimah-kalimah yang dikhususkan secara eksklusif untuk umat Islam dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam kecuali dalam keadaan-keadaan yang dibenarkan oleh perundangan,” titah baginda lagi.

Related posts

Leave a Comment