Keperluan dos kedua vaksin

PUTRAJAYA 17 Mac – Pengambilan dua dos vaksin Covid-19 jenama COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection keluaran Pfizer-BioNTech adalah untuk memastikan keberkesanan jangka panjang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata biarpun dos suntikan pertama mencapai kira-kira 89 peratus berkesanan, tidak diketahui jika ia mampu kekal tanpa dos suntikan kedua.

Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal tersebut, keberkesanan vaksin COMIRNATY ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89 peratus keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan.

Pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos vaksin COMIRNATY tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, adalah penting untuk diberi perhatian bahawa peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua.

Kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu berhubung keperluan untuk mengambil dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech memandangkan dos pertama memiliki tahap keberkesanan yang tinggi.

Sementara itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, petang ini, selang 21 hari selepas dos pertama yang diterima pada 24 Februari lalu.

Beliau melengkapkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya.

Turut menerima dos kedua adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dan empat lagi petugas kesihatan

Hari ini ialah hari ke-21 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan masih berada di dalam fasa pertama.

Related posts

Leave a Comment