Diskaun kompaun langgar SOP

PUTRAJAYA 17 Mac – Individu atau syarikat yang dikompaun kerana melanggar mana-mana SOP, layak mendapat diskaun 50 peratus jika membuat bayaran dalam tempoh tujuh hari dari tarikh dikenakan kompaun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan berkata, diskaun  25 peratus pula bagi tempoh tujuh hari berikutnya.

Contohnya tidak pakai pelitup muka, individu terlibat bayar dalam tempoh tujuh hari, maka automatik  akan dapat diskaun 50 peratus.

“Maknanya, hanya perlu bayar RM750 untuk kesalahan kali pertama, separuh daripada jumlah RM1,500,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Kompaun RM1,500 ditetapkan untuk kesalahan kategori ketiga, iaitu kesalahan yang boleh menyebabkan risiko penularan yang rendah atau tiada langsung kesan kepada komuniti.

Kabinet juga meluluskan pelaksanaan Seksyen 25 di bawah Akta 342 berdasarkan tiga kategori.

Kategori pertama ialah kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tinggi atau impak jangkitan pada skala besar.

Kedua, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tetapi tidak beri impak jangkitan kepada komuniti.

Ketiga, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan yang rendah atau tiada langsung kesan kepada komuniti.

Justeru beliau memaklumkan, individu yang melakukan kesalahan seperti gagal memakai pelitup muka, gagal mendaftar melalui MySejahtera atau menulis maklumat dalam buku rekod, membenarkan kompaun tidak melebihi RM10,000.

Tetapi kerajaan telah membenarkan bagi kesalahan individu kali pertama, kompaun adalah RM1,500.

Bagi kesalahan memasuki pusat perniagaan pub atau kelab malam termasuk premis perniagaan dalam pub atau kelab malam, jika individu, boleh dikompaun maksimum RM10,000 dan bagi peniaga akan dikenakan kompuan maksimum RM50,000.

Ini kerana kesalahan berkaitan kelab malam dan pub ini dianggap sebagai satu kesalahan serius.

Related posts

Leave a Comment