PKR hilang 3 wakil rakyat dalam 2 minggu

SHAH ALAM 13 Mac – Seorang lagi wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar dari parti itu, dua minggu selepas dua anggota Parlimen PKR meninggalkan parti berkenaan.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu juga adalah Naib Presiden PKR dan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli semasa kerajaan Pakatan Harapan.

Sebelum ini Ahli Parlimen Julau Larry Sng dari Sarawak dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong mengumumkan keluar PKR dan mengisytiharkan sebagai ahli Parlimen Bebas dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Xavier dalam kenyataannya berkata, beliau kecewa dengan apa  yang berlaku pada tahun lepas.

Beliau berkata terdapat parti-parti yang membincangkan mengenai kemungkinan pilihan raya walaupun ini tidak perlu atau dapat dilaksanakan pada masa ini.

“Keutamaan kita sekarang ini adalah untuk menyokong kerajaan dalam mengekang pandemik Covid-19, mewujudkan pekerjaan serta mendapatkan dana untuk membangun semula ekonomi.

“Perlu sekurang-kurangnya 18 bulan untuk menyelesaikan program vaksinasi dan lebih dua tahun untuk ekonomi pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di akaun Twitter rasminya.

Beliau berkata usaha kerajaan itu memerlukan sokongan bipartisan bagi memastikannya dapat dilaksanakan dengan jaya.

“Rakyat mahukan kestabilan untuk memulakan semula sektor ekonomi kita yang teruk. Oleh itu, kita perlu bekerjasama, bukan melawan antara satu sama lain,” katanya.

Beliau mengisytiharkan menyokong kerajaan sebagai Anggota Parlimen Bebas.

“Saya yakin dapat menunaikan janji pilihan raya saya kepada rakyat Kuala Langat,” tambahnya.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengesahkan menerima surat pemakluman sebagai Ahli Parlimen Bebas daripada Xavier menerusi e-mel.

Surat bertarikh 12 Mac itu antara lain memaklumkan bahawa Xavier telah membuat keputusan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong blok Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Related posts

Leave a Comment