Dr. Xavier jadi sasaran?

KUALA LUMPUR 13 Mac – Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar yang mengumumkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini pernah memaklumkan kepada pimpinan PKR sebelum ini mendakwa dirinya menjadi sasaran SPRM.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, wakil rakyat itu menjadi sasaran siasatan setelah SPRM menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berhubung satu kes yang sedang berjalan.

“Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional atau hadapi akibat yang serius,” kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu itu dalam satu kenyataan.

Katanya, keputusan Keputusan Dr Xavier  terjadi dengan latarbelakang kenyataannya beberapa minggu lepas bahawa wujud usaha tersusun oleh kerajaan untuk menarik sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang dengan cara umpan dan ugutan menggunakan PDRM, LHDN dan SPRM..

Beliau mendakwa, instrumen pemerintah termasuk SPRM sedang diperguna ahli politik kanan dalam pentadbiran Perikatan Nasional untuk mengalih sokongan Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan pembangkang.

“Ini adalah satu bentuk salahguna kuasa, terutama tatkala kita sedar isu rasuah dan salahguna kuasa yang dilakukan pihak Perikatan Nasional seperti tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib,” katanya

Beliau berkata  kerajaan hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen sambil pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai Ahli Parlimen.

“Sebagai seorang yang lama mengenali Dr Xavier Jeyakumar – Tindakan dan alasan-alasan beliau dalam kenyataan hari ini menimbulkan pelbagai tanda tanya. Namun yang membezakan reformis tulin dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar,” katanya.

Beliau turut mengulangi  gesaan agar semua Ahli Parlimen Keadilan untuk kekal teguh dan Istiqamah berpegang kepada prinsip dan landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan.

Related posts

Leave a Comment