Putra tanding semua kerusi di Kelantan

TUMPAT 12 Mac – Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) akan bertanding di semua 14 kerusi Parlimen dan 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kelantan, kata Presidennya,  Ibrahim Ali

“Cuma 14 Parlimen itu kita bahagikan tiga kategori kerana kita buat keputusan untuk tawaran kepada rakyat sebagai kerajaan alternatif, dengan tagline kita ‘Putra boleh merealisasikan impian rakyat Kelantan’,” katanya.

Katanya, sejumlah 12 orang tokoh akademik bergelar profesor, jurutera aeroangkasa serta jurutera awam adalah antara calon yang bakal ditampilkan.

Putra katanya turut menawarkan calon golongan marhaen, tokoh agama termasuk lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di beberapa kerusi DUN.

Dalam menawarkan wadah perjuangan yang merealisasikan impian rakyat, Ibrahim optimis mahu membawa perubahan besar kepada negeri Kelantan yang masih ketinggalan dalam pelbagai sektor.

Bahkan katanya, isu air, isu penghijrahan anak negeri mencari kerja di luar serta isu tanah masih gagal diselesaikan kerajaan Kelantan.

Ibrahim mengesahkan akan bertanding di salah satu kerusi DUN di sini manakala bagi kerusi Parlimen, itu akan dipertimbangkan sama ada Parlimen Gombak atau salah satu Parlimen di Kelantan.

Beliau sebelum ini berkata, beberapa isu yang masih belum diselesaikan oleh kerajaan negeri berkenaan ketika ini memungkinkan Putra menjadi pilihan warga Kelantan yang sudah “serik” dengan keadaan dihadapi ketika ini.

Katanya, beliau melihat parti yang dikemudinya itu mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan warga Kelantan dan juga Perak.

Related posts

Leave a Comment