Syahid atau tidak halang serangan

SINGAPURA 10 Mac – Seorang belia tempatan, Amirull Ali, 20 ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mahu membunuh orang Yahudi menggunakan pisau, di sebuah rumah ibadat Yahudi di Waterloo Street.

Dia yang ditahan pada 5 Februari dan dikenakan tahanan ISA telah membuat perancangan untuk menyertai sayap tentera kumpulan Hamas, iaitu Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB) bagi memerangi Israel.

Bagaimanapun hasrat itu terhalang kerana dia kurang pasti sama ada akan mati syahid dengan berbuat demikian.

Ketika ditahan, Amirull sedang menjalani Perkhidmatan Negara sepenuh masa dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Dalam kenyataannya, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) menegaskan bahawa Amirull ditangkap kerana mahu melakukan pembunuhan, bukan kerana sokongannya terhadap penduduk Palestin.

Siasatan mendapati, Amirull marah melihat kaum Yahudi hidup aman di Singapura, setelah menonton paparan tersebut menerusi dokumentari CNA mengenai masyarakat Yahudi di negara ini.

Dia kemudian memutuskan untuk melakukan satu serangan ke atas orang Yahudi di sebuah saumaah (synagogue) iaitu Maghain Aboth Synagogue yang terletak berdekatan stesen MRT Bras Basah.

Bagi tujuan itu, dia melakukan dua intipan secara fizikal terhadap saumaah itu antara Ogos dengan awal Oktober 2019. Hasilnya, dia mengenal pasti tempat sesuai untuk menyerang mangsa-mangsanya ketika mereka keluar dari rumah ibadah itu.

Matlamatnya adalah membunuh tiga orang lelaki Yahudi pada suatu hari Sabtu apabila jemaah Yahudi keluar dari bangunan itu selepas beribadah beramai-ramai.

Menyedari sukar untuk mendapatkan senjata api di Singapura, dia merancang menggunakan sebilah pisau Smith & Wesson untuk melakukan pembunuhan itu. Pisau itu sudahpun dimilikinya dan dibeli pada tahun 2016 bagi kegiatan pengakap.

Dia turut memuat turun gambar dalaman tubuh manusia bagi mengenal pasti bahagian tubuh yang mahu ditikam agar mangsa cepat mati. Bagi mencegah pisau itu rosak atau mencederakan dirinya sendiri, Amirull membuat replika pisau berkenaan dan berlatih jurus-jurus menikam di rumahnya.

Menurut ISD lagi, dalam kes Amirull, dia mahu terbabit dalam keganasan bersenjata di Singapura dan juga di luar negara. Dia membuat perancangan dan persiapan terperinci tetapi terhalang kerana dia kurang pasti sama ada akan mati syahid dengan berbuat demikian.

“Jika rancangan Amirull kekal tidak dikesan, dia mungkin pada akhirnya menjalankan rancangan-rancangan serangannya di Singapura atau keluar negara untuk melakukan keganasan bersenjata. Amirull adalah ancaman keselamatan yang boleh berlaku pada bila-bila masa di Singapura dan ditahan di bawah ISA,” kata ISD lagi mengenai penilaian dan risiko keselamatan yang ditimbulkan Amirull.

Jabatan tersebut menyatakan siasatannya sehingga kini menunjukkan bahawa Amirull bertindak sendirian berhubung rancangan-rancangannya itu dan tiada tanda bahawa dia cuba mempengaruhi orang lain.

Anggota keluarganya sendiri dan orang-orang dalam lingkaran sosialnya juga tidak sedar akan rancangannya untuk melakukan serangan ke atas orang Yahudi di negara ini.

Related posts

Leave a Comment