PEMANDU teksi adalah rakyat, pengguna juga rakyat. Ditelan mati emak diluah mati bapa. Serba salah jadinya apabila kerajaan berhadapan dengan isu kenaikan tambang teksi. Kalau terlajak teksi, boleh lagi undur atau buat ‘pusingan u’ tetapi apabila terlajak buat pengumuman, buruk padahnya. Ramai yang keliru. Pemandu teksi dan pengguna/ penumpang pun keliru apabila timbul arahan supaya kadar baharu tambang pengangkutan awam darat itu ditangguhkan. Pemandu teksi mahu meneruskan penggunaan tambang baharu walaupun Kabinet
bersetuju menangguhkannya. Apa cerita semuanya ini? Siapa yang bersalah dalam hal ini sehingga rakyat (pemandu dan pengguna) menjadi mangsa? Kerajaan atau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)? Jika diselak kembali isu ini, keputusan SPAD pada 19 Mac lalu sebenarnya adalah bagi memenuhi janji yang dibuat untuk menaikkan kadar pengangkutan awam darat termasuk teksi.
SPAD tidak bersalah. Cuma ada sedikit kesilapan yang dilakukan sama ada secara sedar atau tidak. Kesilapan itu termasuk tempoh masa pengumuman itu dibuat menjelang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kedua, kenaikan tambang teksi itu berkuat kuasa serta-merta. Kenaikan sama ada sebelum atau selepas pelaksanaan GST akan memberi tamparan hebat kepada kerajaan yang sering melaung-laungkan rakyat tidak
terkesan dengan GST. Mungkin kalau dua bulan lalu, kenaikan itu diumumkan, ia tidak terasa tetapi tidak sampai dua minggu pelaksanaan GST, kenaikan diumumkan. Ketika ini, sebarang kenaikan sama ada harga barang, tarif elektrik, airdan sebagainya akan dikaitkan dengan GST. Di luar sana, ‘tentera’ siber sentiasa bersiap sedia untuk menyerang pihak kerajaan sekiranya berlaku sebarang kenaikan. Semuanya akan dikaitkan dengan GST. Kedua,
disebabkan serta-merta, pemandu-pemandu teksi berlumba-lumba untuk memperbaharui meter dengan tambang baharu. Syarikat atau bengkel berkaitan meter masih beroperasi sehingga semalam.
Pengubahsuaian kadar baharu pada meter melibatkan kos. Kos di kedai meter RM106 dan ditambah RM55 untuk pemeriksaan Puspakom. Jumlah keseluruhan RM166. Sebaik sahaja SPAD mengumumkan kenaikan kadar baharu berkuat kuasa serta-merta, ramai pemandu teksi terus buat perubahan. Siapa yang tidak mahu mengejar kenaikan? Jika sebelum ini, pemandu teksi yang juga sebahagian rakyat merungut harga barang naik serta-merta
selepas kenaikan harga minyak, maka kali ini, pemandu teksi pula berbuat demikian. Naik serta-merta dan rakyat sebagai pengguna pula merungut. Kembali kepada pemandu yang telah membuat pertukaran kadar baharu pada meter, apakah mereka sekali lagi terpaksa mengeluarkan kos RM166 untuk membuat pusingan u? Siapa yang
akan tanggung kos RM332 ini? Berapa banyak masa mereka terbuang kerana meter? Pertama, berbaris di kedai meter dan kedua menunggugiliran di Puspakom.
Bagaimana pula dengan penumpang yang sudah ‘terbayar’ tambang baharu dan akan terus dikenakan tambang itu jika teksi sudah melakukan pertukaran kadar? Sampai bila keadaan ini berlaku? Tidak pasti istilah apa yang
mahu digunakan berkaitan penangguhan ini sama ada ‘arahan atau permintaan’. Jika arahan sudah tentu mesti dipatuhi tetapi di mana ‘hitam putihnya’? Kalau sekadar permintaan, maka ia boleh dipatuhi atau sebaliknya. Setakat semalam, tidak ada ‘hitam putih’ mengenai penangguhan. SPAD akur tetapi pemandu sudah buat keputusan. Di mana pula kedudukan pengguna? Inilah kesan akibat ketidakcekapan pihak berkuasa membuat keputusan. Mangsanya rakyat – pemandu dan pengguna. Jadikan ini satu iktibar kerana kesannya amat besar jika tersilap membuat perhitungan. SPAD buat keputusan, kerajaan terasa kesannya. Tidak apa jika sesuatu keputusan yang baik walaupun asalnya susu lembu tetapi sapi mendapat nama. Bagaimana jika sebaliknya seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit? Seperti disebut, SPAD atau kerajaan sudah berjanji sebelum ini.
Adalah wajar tambang teksi disemak semula tetapi biarlah pemandu dan pengguna dalam situasi ‘menang-menang’. Seperti pemandu teksi, pengguna juga tidak semuanya berpendapatan tinggi atau sederhana. Dalam erti kata lain, pengguna juga perlu menjaga ‘poket’ mereka. Tambang yang disemak semula juga perlulah mencerminkan perkhidmatan yang lebih baik. Pengguna perkhidmatan awam tidak ada pilihan lain kecuali teksi jika sistem pengangkutan lain tidak cekap. Tidak semua kawasan diliputi oleh bas, transit aliran ringan atau komuter. Di sesetengah stesen komuter, pengguna masih memerlukan kereta sapu disebabkan ketiadaan bas. Teksi atau kereta sewa pula mengenakan tambang ikut suka. Tempoh perkhidmatan pengangkutan awam lain juga tidak melepasi tengah malam menyebabkan teksi menjadi pilihan. Di sesetengah stesen LRT, ada pemandu teksi yang secara terang-terangan tidak menggunakan meter sebaliknya mengumpul empat penumpang dan mengenakan tambang mengikut lokasi.
Kelmarin, seorang sahabat memberitahu, dia mencari teksi di hadapan Pavilion, Bukit Bintang. Destinasinya Ampang Park. Seorang pemandu memberitahu “Teksi kat sini tak pakai meter, RM20 boleh?’’ Begitu berani pemandu ini. Kebiasaannya, tambang ke destinasi itu mengikut meter tidak sampai RM10. Masih banyak kepincangan yang perlu diberi perhatian oleh SPAD dalam isu teksi ini. Apa pun, sekurang-kurangnya kenyataan supaya menangguhkan kenaikan itu menunjukkan kerajaan juga prihatin terhadap masalah pengguna. Setidak-tidaknya ada juga pihak seperti UMNO, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan pengguna yang prihatin walaupun semuanya sudah ‘terlanjur’. Pada masa yang sama, SPAD perlu terus melihat pelbagai permasalahan yang timbul. Disebabkan kebanyakan teksi sudah menggunakan gas, beban bahan api dapat dikurangkan. Malangnya tidak banyak stesen minyak yang menyediakan gas ini. Kedudukan stesen yang menyediakan gas juga tidak menyeluruh.
Kebanyakan pemandu pula terpaksa menyewa teksi atau memajak permit. Kos inilah yang sebenarnya membebankan. Alasan sesetengah pemandu teksi bahawa perkhidmatan bas percuma di beberapa lokasi tertentu di Kuala Lumpur menjejaskan pendapatan juga tidak munasabah. Masih banyak lokasi tidak ada perkhidmatan percuma. Satu perkara lagi di Kuala Lumpur, pelbagai teksi dan warna boleh dilihat. Tambang juga tidak serupa walaupun ‘tarafnya’ sama. Contohnya bagi kadar baharu ini, tambang teksi merah putih dan Teksi 1Malaysia berbeza walaupun tarafnya sama. Pemandu juga mengadu jumlah teksi yang banyak menyebabkan pendapatan terjejas. Hakikatnya, kadang-kadang untuk mendapatkan teksi juga sukar. Tidak pasti sama ada tidak ada teksi atau pemandu terlalu memilih. Ada dua kemungkinan sama ada lokasi yang diminta pengguna jaraknya dekat atau bakal melalui jalan yang sesak.
Mungkin juga ada pemilik permit persendirian menjadikan teksi sebagai sumber pendapatan sampingan, tidak sepenuh masa memandu. Jumlah pemandu tidak guna meter dan memilih penum pang juga bersepah. Beberapa lokasinya memang dalam pengetahuan SPAD atau pengguna tetapi isu ini tidak pernah selesai. Seperti yang diselak 23 Februari lalu, contonya di Serdang, di sebelah stesen komuter, teksi berkupon tetapi di seberang jalan stesen, teksi letak harga. Banyak juga teksi yang berbau hapak dan busuk de ngan asap rokok. Pelbagai ‘disiplin’ diperkenalkan oleh SPAD (dulunya LPKP) tetapi setakat mana pelaksanaan dan penguatkuasaannya?
Ini bukan kali pertama Selak menyelak isu teksi ini. Bukan nasib penumpang sahaja yang Selak cuba selak tetapi juga nasib pemandu yang menjadi mangsa penipuan penumpang. Pemandu dan penumpang adalah rakyat yang sama-sama mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan di bumi ini. Mereka perlu mendapat pembelaan. Kehadiran pemandu yang tidak beretika menyebabkan pengguna resah dengan kenaikan tambang. Semuanya ini memerlukan pemantauan SPAD.
UMA230315013C#