517 individu gagal patuhi SOP

KUALA LUMPUR 8 Mac – Gagal mematuhi penjarakan fizikal masih berlaku apabila 202 individu melakukan kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP), kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Jumlah tersebut adalah antara 517 individu yang ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 513 dikompaun manakala empat lagi direman.

Kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (95), tidak memakai pelitup muka (66), aktiviti pusat hiburan (64), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (64), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (18), keluar rumah tanpa alasan munasabah (1) dan lain-lain (7).

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pihak berkuasa melalui Op Benteng pada Ahad juga telah menangkap 33 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas empat buah kenderaan darat.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 102 buah bot atau kapal di perairan negara dan sembilan buah kenderaan darat melalui 12 aktiviti penglihatan.

Sementara itu ujarnya, seramai 983 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara pada Ahad.

Selain itu, seramai 3,629 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 56 orang didapati positif Covid-19.

Ismail Sabri juga mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Diperketatkan (PKPD) di Felda Jengka 1, Felda Jengka 2, Felda Jengka 7 dan Felda Ulu Jempol, Maran, Pahang tamat hari ini, lebih awal daripada jadual asal iaitu 15 Mac.

Keputusan itu diambil selepas kerajaan membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

Sehingga kini, KKM (Kementerian Kesihatan) telah melaksanakan 471 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif hanya satu kes dilaporkan yang melibatkan lokaliti ini.

KKM mengesahkan kes positif hanya dikesan dalam Felda Ulu Jempol dan semua kontak rapat, kumpulan sasaran dalam kalangan penduduk telah dikenal pasti, disampel dan diasingkan.

Related posts

Leave a Comment