Hamas jelas kenapa serang Israel

GAZA: Hamas mempertahankan tindakan melakukan serangan ke atas Israel pada 7 Oktober lalu adalah sebagai langkah perlu dan tindak balas bagi menentang pendudukan rejim Zionis dan pembunuhan rakyat Palestin.

Menurut laporan Al Jazeera yang memetik laporan setebal 16 muka surat diterbitkan kumpulan pejuang itu, Hamas menjelaskan anggotanya cuma menyasarkan tentera Israel dan individu yang membawa senjata.

Melalui laporan ‘Naratif Kami’, Hamas yang mentadbir Gaza berkata pihaknya mahu menjelaskan latar belakang dan kedinamikan serangan mengejut yang dipanggil Operasi Taufan Al-Aqsa.

Hamas menjelaskan serangan itu antara lain disebabkan, kempen pembinaan penempatan Israel dan pencerobohan berterusan rejim Zionis ke atas tanah Palestin di Tebing Barat serta Baitulmaqdis yang diduduki dan pembunuhan ribuan orang awam Palestin dari tahun 2000 sehingga kini.

Laporan itu turut menyebut, mengikut perancangan Hamas, pihaknya menyasarkan tapak tentera Israel dan untuk menahan tentera Zionis.

Dengan langkah itu, Hamas menjelaskan ia sebagai strategi untuk menekan pihak berkuasa Israel supaya membebaskan ribuan rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

“Jika terdapat sebarang kes menyasarkan orang awam, ia berlaku secara tidak sengaja dan semasa konfrontasi dengan pihak penceroboh,” kata laporan itu.

Laporan itu menyebut, kemungkinan juga beberapa kesilapan berlaku ketika serangan dilancarkan berpunca kerosakan besar sistem keselamatan ketenteraan Israel, ditambah pula kekacauan yang berlaku di sepanjang kawasan berhampiran Gaza.

Menurut laporan itu lagi, ramai warga Israel dibunuh oleh tentera dan polis Israel kerana berlaku kekeliruan dalam kalangan mereka.

Hamas dalam laporan sama turut menyentuh situasi pasca perang di Gaza selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggandakan penentangannya terhadap tanah berdaulat Palestin.

“Rakyat Palestin mempunyai kapasiti untuk menentukan masa depan mereka dan mengatur hal ehwal dalaman sendiri, tiada pihak di dunia yang mempunyai hak untuk membuat keputusan bagi pihak mereka,” kata kumpulan pejuang itu.

Related posts

Leave a Comment