Mesyuarat MPT, Bersatu lapor polis

KUALA LUMPUR 6 Mac – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan penyebaran maklumat berhubung initipati Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, bertarikh 4 Mac 2021 melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, segala maklumat yang terkandung dalam sebaran tersebut adalah tidak benar dan palsu.

Selain itu, Ahli Parlimen Larut itu berkata, maklumat yang disebarkan itu tidak mempunyai kaitan sama sekali terhadap mana-mana mesyuarat MPT yang telah berlangsung.

“Sehubungan itu, Bersatu akan membuat laporan polis terhadap penyebaran berita palsu itu bagi menjejaki dalang disebalik penyebarannya dan tidak teragak-agak untuk menggunakan semua lunas perundangan yang ada bagi melindungi kepentingan parti serta ahli Bersatu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Maklumat itu yang kononnya untuk ketua bahagian Bersatu sahaja antara lain berkaitan pembubaran Parlimen, Pas pendamai UMNO, lapan lagi akan melompat parti, pelantikan TPM, dan pendakwaan ‘lebih keras’ terhadap Presiden UMNO.

Related posts

Leave a Comment