Cabaran kesihatan mental Covid-19

GENEVA 6 Mac – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan mengenai  cabaran kesihatan mental yang disebabkan oleh pandemik Covif-19.

Ketua Teknikal Program Kecemasan Kesihatan WHO, Maria Van Kerkhove, berkata terdapat pelbagai kesan akibat virus ini terhadap kesihatan mental

Katanya kesan terhadap individu itu sama ada kehilangan orang yang disayangi  atau ahli keluarga serta rakan akibat virus ini.

Begitu juga bagi yang kehilangan pekerjaan, anak-anak yang tidak dapat ke sekolah, dan mereka yang terpaksa tinggal di rumah dalam situasi yang sangat sukar.

“Organisasi ini melalui Jabatan Kesihatan Mental kami, berusaha mencari kaedah di mana kami dapat menyokong mereka seperti ini,” katanya pada satu sidang media di Geneva lewat tengah malam tadi (waktu Malaysia).

Maria berkata, banyak usaha dilakukan WHO untuk melihat kepada kesihatan mental dan ia telah dilakukan selama beberapa tahun.

Bagaimanapun, katanya, khusus ketika pandemik ini, ia menimbulkan kesedaran mengenai jumlah luar biasa individu yang terjejas kesihatan mental, tidak kira di mana tempat tinggal mereka dan usia mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyatakan kebimbangannya mengenai penghantaran vaksin Covid-19 melalui program Covax yang masih rendah sedangkan negara lain berlumba untuk menyuntik penduduk mereka.

Katanya, dunia ketika ini memasuki fasa penting untuk inisiatif kolaboratif bertujuan menghasilkan 2 bilion dos pada akhir 2021.

“Tetapi jumlah yang diedarkan melalui Covax masih kecil. Pusingan pertama meliputi di antara dua dan tiga peratus populasi negara-negara yang menerima vaksin melalui Covax,” katanya.

Beliau berkata salah satu keutamaan WHO sekarang adalah peranan Covax untuk membantu semua negara mengakhiri wabak ini.

“Ini bermaksud tindakan segera untuk meningkatkan pengeluaran,” kata Dr Tedros.

Sementara itu Penasihat Kanan Ketua Pengarah, Bruce Aylward berkata cabaran terbesar adalah kebenaran kawal selia dan peruntukan liabiliti untuk penggunaan vaksin.

Beberapa cabaran terbesar adalah menerapkan penguatkuasaan peraturan untuk produk ini, serta apa yang disebut  sebagai ganti rugi peruntukan liabiliti untuk penggunaan produk ini.

“Penguatkuasaan peraturan harus ada. Proses ganti rugi harus dilaksanakan. Program vaksinasi nasional harus dilaksanakan.

“Setelah semua itu dilaksanakan, kita harus dapat menghubungkannya dengan penghantaran, logistik, pesanan pembelian, dan sebagainya. Oleh itu, ini adalah proses yang cukup rumit,” katanya.

Related posts

Leave a Comment