Varian Nigeria B1.525 di Malaysia

PUTRAJAYA 5 Mac – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kes pertama individu warga asing yang dijangkiti varian Nigeria SAR-CoV-2, juga dikenali sebagai B1.525.

Kedua-duanya tiba dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan didapati positif Covid-19 melalui ujian swab RT-PCR.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) melakukan penjujukan genom penuh mengambilkira sejarah perjalanan mereka di mana analisis lanjut menunjukkan wujud semua mutasi yang dilaporkan berkait dengan varian tersebut.

“Ini termasuk mutasi ‘spike protein’ E484K, Q677H, F888L dan rangkaian ‘protein deletions’ serupa yang dilihat dalam varian UK B.1.1.7.

“Mutasi ‘spike protein’ E484K sangat membimbangkan kerana ia dilaporkan mampu mengelak sistem ketahanan badan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Dr Noor Hisham berkata, varian Nigeria itu pertama kali dikesan di United Kingdom dan Nigeria pada Disember 2020.

Ia juga boleh menyebabkan peningkatan dalam kebolehjangkitan serta kemungkinan penurunan tindak balas imuniti.

Tambah beliau, KKM melalui IMR dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau mutasi Nigeria B1.525 ini dan memaklumkan perkembangannya kepada masyarakat umum.

“Walaupun program vaksinasi sedang dilaksanakan, langkah-langkah kesihatan awam masih perlu diamalkan kerana imuniti kelompok masih belum dicapai,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment