Pemandu treler positif dadah

KUALA LUMPUR 4 Mac – Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan perancah besi dalam pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) runtuh didapati positif dadah jenis metaphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata pemandu itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pemandu treler berusia 40 tahun dan berasal dari Perak itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2)

Zulkefly berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang melalui Lebuhraya MRR2 telah berlanggar kerangka besi pada pembinaan di jejantas pejalan kaki.

“Kejadian itu menyebabkan rusuk keluli bersama dengan perancah besi terjatuh di dua-dua laluan Lebuhraya MRR2 dan telah menghempap van yang bergerak dari laluan Ampang menghala ke TBS.

“Semasa kejadian van dalam perjalanan ke sebuah kilang di USJ 1,” ujarnya.

Kejadian itu turut menyebabkan dua dari empat wanita pekerja kilang meninggal dunia manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van mengalami kecederaan.

Tambah Zulkefly, mangsa yang maut adalah Nurina Edwin Abdullah, 47, Norhayati Abdullah, 42.

Manakala pemandu van Muhd Fairus Mohd Yusof, 47, patah tulang bahu kiri, bengkak pada paru-paru dan mengalami pendarahan dalam.

Dua lagi mangsa Zaitun Zainal, 54, cedera pada bahagian kaki sebelah kiri dan seorang lagi mangsa Zakiyyah Yakop, 54, cedera bahagian betis sebelah kiri.

Kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Related posts

Leave a Comment