Kes sembuh atasi kes baharu

PUTRAJAYA 2 Mac – Kes baharu positif Covid-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas turun kepada 1,555 berbanding 1,828 semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 304,135 dengan kes aktif sebanyak 24,563.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, tiga adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala 1,552 kes melibatkan penularan dalam negara.

Kes import melibatkan tiga bukan warganegara manakala kes tempatan membabitkan 1,108 warga negara dan 444 bukan warga.

“Kes sembuh harian pula mencatat 2,528 kes, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang sembuh setakat hari ini sebanyak 278,431 kes,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Sebanyak 204 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 96 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata enam kematian pula dilaporkan hari ini melibatkan lima warga tempatan dan seorang bukan warganegara.

Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes di Selangor, dan masing-masing satu  kes di Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Perak. Sebanyak lima  kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

Related posts

Leave a Comment