PKP diganti, belum boleh rentas negeri

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang berakhir pada Khamis ini digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 18 Mac, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes Covid-19 menunjukkan trend penurunan dengan kadar kebolehjangkitan yang menurun daripada 1.2 kepada 0.8 peratus.

Sementara itu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal dengan status PKPB.

Ismail Sabri menambah, enam lagi negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status daripada PKPB kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan Perlis kekal berstatus PKPP.

Beliau juga mengumumkan kebenaran rentas daerah bagi semua negeri kecuali Sabah bermula 5 Mac manakala larangan rentas negeri masih kekal.

Seperti yang dilaksanakan sewaktu PKPB 1.0, Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya adalah dianggap satu zon, maka pergerakan rentas antara Selangor (PKPB) ke WP Kuala Lumpur (PKPB) adalah dibenarkan.

Bagaimanapun  pergerakan dari Selangor atau WP Kuala Lumpur ke WP Putrajaya masih tidak dibenarkan kerana WP Putrajaya berstatus PKPP dan pergerakan ini memerlukan kebenaran polis kecuali bagi yang bekerja dan mempunyai surat majikan.

Katanya, keputusan membenarkan pergerakan rentas negeri sekiranya kes harian Covid-19 turun kepada dua angka tertakluk kepada penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM akan membentangkan cadangan yang berkaitan kepada Jawatankuasa Teknikal serta Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kalau kes menurun kepada dua angka pastinya KKM akan menasihati… kalau ada cadangan baharu sama ada nak membenarkan atau sebaliknya bagi rentas negeri akan dibentangkan KKM,” katanya.

Related posts

Leave a Comment