Seri Paduka lawat mangsa banjir

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia, PPS Dewan Paya Besar dan PPS SMK Sungai Isap, Kuantan, Pahang hari ini, 20 Disember.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Seri Paduka Baginda berdua meluangkan masa hampir dua jam bermula pukul 12 tengah hari menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa banjir di tiga PPS tersebut.

Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir tersebut dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Ketika lawatan PPS Wisma Belia Kuantan, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir di semua PPS bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku serta menasihati semua pihak yang berada di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Related posts

Leave a Comment