Layanan dalam pemantauan

JEMAAH yang terpilih menunaikan haji tahun ini bakal mendapat layanan istimewa. Menurut FB Haramain Sharifain, antara kemudahan itu termasuklah penginapan di Arafah dan Mina.

Di Padang Arafah, kelihatan khemah serta  ruang tidur yang selesa dan mematuhi penjarakan. Suasana di Muzdalifah, lokasi jemaah singgah sebelum ke Mina juga kelihatan lebih baik.

Di Mina, jemaah akan tinggal di Menara Mina bukan lagi di khemah seperti pada musim haji sebelum ini.

Semua kemudahan dan layanan istimewa ini ada kaitan dengan pematuhan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19. Semua kemudahan ini bukan setakat memberi keselesaan kepada jemaah tetapi yang lebih penting memudahkan pihak berkuasa memantau pergerakan jemaah.

Seperti dilaporkan sebelum ini, jemaah akan memasuki Tanah haram dari miqat Qarnuul Manazil dekat Taif pada 8 Zulhijah

Persiapan juga dibuat bagi menyiarkan terjemahan khutbah haji di Arafah dalam lima bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Indonesia, Urdu, Perancis dan Farsi.

Pada masa yang sama Arab Saudi juga mengambil langkah mengelakkan mereka yang tidak mendapat kebenaran memasuki Mina, Muzdalifah dan Arafah semasa musim haji. Mereka yang ingkar boleh didenda RS10,000 dan penjara 15 hari. Jika yang ditahan itu warga asing, mereka akan dihantar pulang ke negara asal.

Related posts

Leave a Comment