Menteri, mufti Singapura dapat dos kedua

MENTERI Pembangunan Sosial dan Keluarga Singapura merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19 di Polikinik Tampines hari ini,  23 Februari.

Beliau hadir bersama Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Esa Masood

Dalam satu catatan Facebook pada Selasa, Masagos berkongsi cerita mengenai warga emas Tampines, iaitu Kamisah, Anwar dan Adnan yang  ke sana untuk dapatkan suntikan pertama.

Katanya, selepas diperiksa doktor, malangnya Adnan tidak dapat disuntik ekoran kesihatannya. Doktor menasihatkannya untuk tunda ke lain masa.

“Begitu teliti para doktor kita. Walaupun sedikit hampa, Adnan berkata beliau tidak putus asa kerana beliau tahu pentingnya vaksin untuk Singapura dan dunia melawan Covid-19.

“Sementara ini, beliau akan terus jaga kesihatannya, amalkan jarak selamat dan kurangkan interaksi dengan orang lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar bagi Kamisah dan Anwar,” kata Masagos.

Beliau gembira ketiga-tiga penduduk ini bersikap positif dan bersemangat untuk lindungi diri mereka dan orang di sekeliling mereka.

“Mereka tidak berasa ragu apabila menerima surat vaksinasi. Mereka sedar bahawa dengan disuntik mereka juga dapat melindungi golongan yang tidak boleh disuntik seperti cucu-cucu mereka di bawah usia 16 tahun serta wanita hamil,” katanya.

Beliau berharap sikap yang ditunjukkan warga emas itu dicontohi dengan mendapatkan suntikan dan jadikan tanah air selamat.

Related posts

Leave a Comment