349,297 calon layak dapat sijil SPM

PUTRAJAYA 27 Mei – Seramai 11,713 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, berbanding 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2023, menunjukkan peningkatan, iaitu 83,112 calon, berbanding 75,322 calon pada 2022.

Katanya, seramai 131,480 calon (35.2 peratus) sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran iaitu peningkatan 3,296 calon (0.9 peratus), berbanding 128,193 calon atau 34.4 peratus pada 2022.

Beliau berkata, keputusan SPM 2023 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.

Bercakap pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di sini, hari ini, beliau berkata peratus calon layak menerima sijil SPM adalah 349,297 calon bersamaan 93.5 peratus berbanding 342,742 calon atau 91.6 peratus pada 2022.

Seramai 373,525 calon menduduki SPM 2023, berbanding 373,974 pada 2022.

Adnan berkata, pencapaian SPM 2023 antara bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan, namun jurang pencapaian calon kekal pada 0.43 mata seperti SPM 2022.

Sementara itu, calon SPM 2023 boleh memperoleh keputusan peperiksaan daripada sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi ini.

Malah, calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan secara dalam talian di myresultspm.moe.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Sistem terbabit diaktifkan bermula jam 10 pagi ini sehingga jam 6 petang 2 Jun ini.

Related posts

Leave a Comment