WHO temui petunjuk di Wuhan

GENEVA: “Virus ini tersebar luas di Wuhan pada bulan Disember (2019) yang mana merupakan penemuan baharu,” kata Ketua Penyiasat  misi Pertubuhan  Kesihatan Sedunia (WHO), Peter Ben Embarek yang ditugaskan mencari asal-usul penyakit Covid-19 di China

Pakar keselamatan makanan WHO itu berkata, misi itu menemui beberapa petunjuk penularan meluas pada dua tahun lepas termasuk membuktikan untuk pertama kalinya terdapat puluhan strain virus tersebut di Wuhan pada ketika itu.

Pasukannya juga telah dimaklumkan saintis China dengan 174 kes koronavirus di dan sekitar Wuhan pada bulan Disember 2019.

Daripada jumlah tersebut, 100 daripadanya telah disahkan oleh ujian makmal, dan 74 lagi melalui diagnosis klinikal simptom pesakit.

Embarek berkata ada kemungkinan penyakit ini telah menjangkiti sekitar 1,000 orang di Wuhan pada Disember dua tahun lalu.

“Kami belum melakukan pemodelan tentang itu, tetapi kita tahu, secara dasarnya, daripada jumlah populasi yang dijangkiti, kira-kira 15 peratus merupakan kes yang teruk, dan sebahagian besarnya adalah kes ringan,” kata Embarek dalam temu bual eksklusif bersama CNN.

Penyiasat dari WHO dalam misi mencari asal-usul penyakit Covid-19 di China itu

bagaimanapun gagal untuk mendapat akses kepada ratusan ribu sampel darah dari wilayah yang dipercayai lokasi terawal penularan virus itu setelah tidak mendapat kebenaran China.

Pasukan itu juga berpeluang bercakap dengan pesakit pertama, seorang pekerja pejabat berusia 40-an tanpa sejarah perjalanan, yang dilaporkan dijangkiti pada 8 Disember.

Embarek berkata misi yang terdiri daripada 17 saintis WHO dan 17 saintis Cina itu telah memperluas jenis bahan genetik virus yang dikaji daripada kes-kes koronavirus awal pada bulan Disember 2019.

Ini membolehkan mereka melihat sampel genetik separa, dan bukan sekadar sampel lengkap, katanya.

Hasilnya, mereka dapat mengumpulkan, untuk pertama kalinya, 13 urutan genetik yang berbeza daripada virus SARS-COV-2 mulai Disember 2019 yang dapat memberikan petunjuk tentang geografi dan penularan wabak itu sebelum Disember.

“Sebahagian mereka dari pasar, sebilangan pula tiada kaitan dengan pasar.

“Ini adalah dapatan sebagai sebahagian daripada misi kami … sebahagian daripada interaksi yang kami lakukan bersama,” kata Embarek.

Embarek sebelum ini menafikan teori virus itu dihasilkan di makmal China.

Penyiasat WHO juga percaya virus berkenaan berasal dari haiwan sebelum dipindahkan kepada manusia.

Walaupun dapatan asal merumuskan virus berasal dari kelawar, namun ia dipercayai bukan dari Wuhan.

Laporan pasukan misi mencari asal-usul koronavirus di China akan diterbitkan minggu depan.

Related posts

Leave a Comment