PKPD di penjara Tapah

KUALA LUMPUR 15 Feb. –  Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Perak dan kuarters kakitangannya mulai 16 Februari sehingga 1 Mac.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 187 ujian saringan ke atas kontak rapat dan daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes positif Covid-19 direkodkan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri juga memaklumkan kerajaan turut bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Sungai Udang Melaka Tengah, Melaka bermula 17 Februari sehingga 2 Mac ini.

Bagaimanapun, PKPD di kuarters kakitangannya akan tamat esok, seperti dijadualkan.

“KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku dalam kalangan tahanan dan terdapat baki 21 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Bagaimanapun, penularan kes positif Covid-19 ini tidak melibatkan kakitangan dan ahli keluarga yang tinggal di kuarters,” katanya.

Sementara itu, arahan PKPD di Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1 Felda Bersia, Hulu Perak, Perak; Kampung Sungai Ud, Dalat, Sarawak dan Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, Perak akan tamat esok, seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Related posts

Leave a Comment