143 kes, dua kematian di Thailand

BANGKOK 15 Feb. – Thailand merekodkan 143 kes baharu Covid-19 dan dua kematian, menjadikan jumlah jangkitan di negara itu meningkat kepada 24,714 kes dengan 82 kematian.

Dua kematian membabitkan lelaki Thailand berusia 62 tahun dari Ubon Ratchathani yang meninggal dunia pada Ahad dan seorang lagi lelaki Thailand berusia 78 tahun dari Samut Sakhon meninggal dunia pada Sabtu.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), kedua-duanya mempunyai masalah kesihatan.

Daripada 143 kes baharu, sebanyak 132 adalah penularan tempatan iaitu 68 kes menerusi pengesanan kes aktif dan 64 yang mendapatkan rawatan di hospital, manakala 11 lagi kes import.

Wilayah Samut Sakhon, pusat wabak di Thailand kini mencatatkan 69 kes baharu.

Pathum Thani mencatatkan 50 kes baharu Covid-19 menerusi pengesanan kes aktif yang melibatkan 37 warga Thai, lapan rakyat Myanmar dan lima dari Laos.

 PPathum Thani adalah kluster terbaharu di negara itu apabila dua pasar – Pornpat dan Suchart – di daerah Thanyaburi mengesan lebih 200 kes Covid-19.

Sementara itu, seorang lelaki Thailand yang pulang  dari Tanzania dan sedang menjalani kuarantin wajib didapati positif varian Covid-19 Afrika Selatan.

Timbalan Jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata lelaki berusi 41 tahun itu, seorang peniaga permata tiba di Thailand pada 29 Januari dan menjalani kuarantin di kemudahan kuarantin alternatif (ASQ).

Lelaki itu diuji positif varian Covid-19 Afrika Selatan pada 3 Februari dan kini dirawat di Unit Penyakit Berjangkit Palang Merah Thailand.

Pesakit itu tinggal di ASQ sebaik tiba. Tiada kontak antara pesakit dengan orang awam. Semua petugas perubatan di hospital dan ASQ yang mempunyai kontak dengan pesakit telah menjalani ujian dan keputusan adalah negatif.

Related posts

Leave a Comment