Lapan lagi masjid di Saudi tutup

JEDDAH 13 Feb. – Lapan lagi masjid di beberapa lokasi di Arab Saudi ditutup untuk tempoh tertentu semalam (Jumaat)  ketika negara itu terus mencatatkan peningkatan kes harian yang melebihi 300 kes dalam tempoh seminggu lalu.

Menurut media tempatan dua daripada masjid itu terletak di Jeddah, satu di Makkah, dua di Riyadh, satu di daerah Jazan, satu di daerah timur dan satu di daerah Asir.

Sejak lima hari lalu, 52 masjid ditutup disebabkan kes-kes Covid-19 yang melibatkan jemaah. Daripada jumlah tersebut, 38 sudah selesai prosedur pembasmian kuman bagi memastikan kesihatan jemaah.

Kementerian Hal Ehwal Islam turut mempertingkat pemantauan ke atas kemudahan-kemudahan masjid di mana solat Jumaat diadakan, selaras dengan usaha mengekang penularan Covid-19.

Para imam di masjid-masjid juga turut serta dalam usaha mengekang penularan koronavirus itu, dengan menggesa jemaah supaya memandang serius langkah-langkah berjaga-jaga dan menyifatkannya sebagai “tanggungjawab agama dan negara”.

Pegawai dan kakitangan masjid turut mengatur kemasukan jemaah dan memerika suhu badan mereka sebelum masuk di samping penggunaan cecair sanitasi.

Semalam, Jumaat, Arab Saudi merekodkan 353 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kini 372,073.

Related posts

Leave a Comment