Jakim nafi sandwich ada sijil halal

PUTRAJAYA 16 Jan. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali lagi menafikan dakwaan bahawa produk Ham dan Cheese Sandwich mempunyai sijil halal, kata Ketua Pengarahnya,  Dr Sirajuddin Suhaimee.

Tegasnya, pemeriksaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati, produk berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), malah syarikat yang menghasilkan produk itu juga bukan pemegang SPHM.

Hasilnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 diambil oleh pihak KPDN.

“Dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas satu laporan BH berhubung dakwaan bahawa bahan mentah sandwich kontroversi mempunyai sijil halal Jakim.

Menurut  Dr Sirajuddin, penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.

“Hal ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan.

“Oleh itu, Jakim menggesa pengusaha-pengusaha di luar sana supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang diguna pakai bagi mengelakkan daripada perkara sebegini berulang,” katanya.

Terdahulu, syarikat pengeluar sandwic kontroversi mendedahkan bahan mentah digunakan dalam pembuatan makanan itu memiliki pensijilan halal daripada Jakim.

Shake And Bake Cafe Sdn Bhd dalam kenyataan yang dikeluarkan media hari ini dilaporkan berkata penghasilan sandwich itu menggunakan roti, keju dan kepingan daging ayam yang diperakukan halal oleh Jakim.

Syarikat itu juga mengesahkan pegawai KPDN serta Jakim sudah melakukan siasatan ke atas premis mereka pada jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment