Pandangan Tommy Thomas tidak tepat

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia berpendapat apa yang diperkatakan bekas Peguam Negara Tommy Thomas menerusi bukunya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ mengenai ketidakmampuan sikap, komitmen dan dedikasi pegawai Jabatan Peguam Negara (AGC), adalah tidak tepat.

Presidennya Salim Bashir dalam kenyataan hari ini berkata, perkara yang dinyatakan Thomas dalam buku itu adalah pendapat beliau sendiri dan tidak mewakili pandangan Majlis Peguam.

Menurutnya Majlis Peguam mempunyai hubungan profesional yang baik dengan pelbagai peringkat serta bahagian di AGC, dan sikap profesionalisme yang ditunjukkan oleh pegawai di jabatan berkenaan adalah sangat baik dan cekap.

Justeru katanya Majlis Peguam berpendapat adalah tidak tepat untuk melabelkan keseluruhan jentera AGC sebagai tidak kompeten dan tidak bersemangat maju serta tidak berdaya saing berbanding peguam swasta.

Tahap kompetensi yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara, khususnya Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Persekutuan dalam mengemudi sesuatu kes sangatlah membanggakan dan memperlihatkan tahap kebolehan yang baik dan cemerlang setaraf peguam-peguam swasta,” katanya.

Salim berkata, sebagai bekas Peguam Negara, jika ingin mengkritik, Thomas  perlu lakukan secara peribadi ketika beliau dalam perkhidmatan selain mengambil langkah membaiki kepincangan ketika itu dan setidak-tidaknya mengkritik dalam konteks yang membina setelah bersara.

Beliau berkata walaupun diakui ada beberapa kelemahan dalam kalangan kakitangan dan pegawai tetapi perkara itu adalah lumrah dalam setiap struktur organisasi, sama ada dalam kalangan pegawai undang-undang dalam perkhidmatan kerajaan mahupun peguam swasta.

“Kita tidak boleh membuat rumusan umum yang mencerminkan dan mengaitkan sikap setiap pegawai dan peguam dalam organisasi itu. Kami (Badan Peguam Malaysia) percaya ramai pegawai Jabatan Peguam Negara mampu dan bersedia menerima teguran dan kritikan yang dibuat dalam cara yang berhemah dan bertujuan membaiki diri supaya lebih maju,” katanya.

Related posts

Leave a Comment