Boleh makan di kedai mulai 10 Februari

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan restoran dan kedai makan beroperasi secara dine in atau makan di kedai dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kata Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menjelaskan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan kebenaran itu diberikan bermula esok, 10 Februari dengan jumlah dua orang semeja.

Selain itu, penjarakan satu meter juga dikenakan kepada pengunjung yang makan di kedai atau restoran.

Pemilik restoran juga perlu menyediakan seorang pekerja yang akan memantau pergerakan keluar masuk pelanggan dengan memastikan rekod kemasukan, penjarakan fizikal dan juga mengehadkan bilangan pelanggan di dalam restoran/kedai pada satu-satu masa.

MKN juga bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula dengan SOP yang ketat.

Langkah itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan, antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraf tangan, kedai permainan kanak-kanak, kedai peralatan sukan dan sebagainya.

“Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah pemilik premis perlu melakukan nyah kuman di premis masing-masing tiga kali sehari, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka dalam premis, memastikan (pelanggan dengan) suhu (badan) lebih 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Kedai pakaian pula perlu sediakan sarung tangan kepada pelanggan, kedai kosmetik hanya menjalankan aktiviti jual beli sahaja, tidak dibenarkan mencuba produk,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata kebenaran bagi kedai barangan fotografi dan perkhidmatan fotografi serta penggunaan studio hanya melibatkan seorang pelanggan dan jurugambar sahaja.

Katanya penggunaan studio penggambaran tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan gambar passport, visa dan lesen.

Related posts

Leave a Comment