Anak kapal SIA positif Covid-19

SINGAPURA 9 Feb. – Seorang anak kapal Singapore Airlines (SIA) adalah antara 11 kes import yang dilaporkan di sini hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes 59,732.

Wanita rakyat Singapura berusia 41 tahun itu berlepas dari Singapura pada 30 Januari dengan menaiki penerbangan ulang alik ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Beliau pulang pada 1 Februari tanpa turun daripada pesawat itu.

Menurut Kementerian Kesihatan, hasil awal ujian mendapati wanita  itu positif bagi jenis virus B117 dan sedang menunggu ujian pengesahan lanjut.

Pada 4 Februari, beliau mengalami “anosmia” , merujuk kepada kehilangan deria bau namun tidak mendapatkan rawatan perubatan.

Pada 7 Feb, beliau menjalani ujian Covid-19 sebagai sebahagian daripada keperluan bagi anak kapal untuk menjalani ujian selepas pulang dari luar negara. Hasil ujian secara berkumpulan adalah positif bagi Covid-19 pada 8 Februari dan beliau dibawa ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit untuk menjalani ujian swab perseorangan

Hasil  keputusan ujiannya adalah positif.

Empat lagi penumpang yang menaiki penerbangan sama dengan anak kapal itu juga diuji positif bagi Covid-19 hasil ujian awal juga adalah positif bagi B117.

Menurut MoH, disebabkan oleh sejarah perjalanannya yang terbaru, dan kemungkinan beliau dijangkiti di atas pesawat, MoH mengklasifikasikan dahulu kes ini sebagai import.

MoH juga menambah bahawa anak kapal itu menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech pada 2 Februari .

Sepuluh kes import selebihnya diletakkan di bawah notis jangan keluar rumah setibanya mereka di sini.

Salah seorang daripada mereka merupakan rakyat Singapura yang pulang dari UAE, manakala seorang lagi adalah pemegang pas tanggungan yang tiba dari India.

Tiga lagi kes adalah pemegang pas pelajar yang tiba dari India, Indonesia dan Rusia manakala tiga kes merupakan pembantu rumah asing yang tiba dari Filipina dan Indonesia.

Sementara itu 22 kes, dibenarkan pulang daripada hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan keseluruhan jumlah pesakit yang pulih di Singapura sebanyak 59,506.

Sebanyak 40 kes masih dirawat di hospital, Kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih dan seorang dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment