Vaksinasi 500,000 petugas hingga April

PUTRAJAYA 4 Feb.- Kerajaan akan memulakan pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini hingga April melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, fasa kedua pula, bakal melibatkan 9.4 juta penerima vaksin bermula April hingga Ogos 2021 terutamanya kepada kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 seperti warga emas dan golongan rentan berusia 60 tahun ke atas.

“Bagi fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.

“Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh,” katanya lagi.

Tambah Perdana Menteri, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara melibatkan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam, swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti.

“Peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh kerajaan untuk mengambil alih secara sementara dewan-dewan dan kemudahan-kemudahan yang lain bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini adalah program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara kita. Justeru, saya menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi menjayakan program ini,” kata Perdana Menteri lagi.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi memastikan program imunisasi ini dilaksanakan dengan teratur.

Beliau akan mengetuai satu Pasukan Pertugas Khas yang menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan.

“Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan untuk terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan,” kata Muhyiddin

Related posts

Leave a Comment