22 kes baharu di Singapurra

SINGAPURA 4 Feb. – Sebanyak 22 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Singapura setakat tengah hari ini, semuanya kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), semua kes tersebut sudah dikenakan notis Jangan Keluar Rumah(SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini adalah 59,624 kes.

Semalam, Singapura merekodkan 18 kes dan satu daripadanya kes jangkitan tempatan melibatkan seorang rakyat India berusia 35 tahun yang diuji positif dua minggu selepas beliau selesai menjalani SHN.

Pemegang pas lawatan jangka panjang itu mengunjungi India pada 30 November dan pulang ke Singapura pada 6 Januari.

Baki 17 kes import termasuk seorang Penduduk Tetap Singapura (PR) dan seorang pemegang pas kerja yang pulang dari India.

Seramai 14 pemegang pas kerja tiba dari Bangladesh, Indonesia dan Malaysia di mana sembilan adalah pembantu rumah asing.

Kes terakhir melibatkan seorang anak kapal yang tiba dari Indonesia untuk menaiki sebuah kapal yang berlabuh di sini.

Beliau diuji semasa menaiki kapal dan dibawa ke hospital setelah diuji positif Covid-19.

Semalam juga, sebanyak 19 kes dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan keseluruhan jumlah kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 59,320.

Seramai 39 kes dirawat di hospital. Sebahagian besar dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih dan tiada seorang pun yang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Related posts

Leave a Comment