‘Makan besar’ dibenarkan

KUALA LUMPUR 4 Feb. – Kerajaan membenarkan aktiviti majlis ‘makan besar’ bersama keluarga serta upacara sembahyang di rumah dijalankan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada 12 dan 13 Februari depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata aktiviti persembahan dan kebudayaan seperti tarian singa, naga, perarakan tanglung dan chingay serta persembahan opera Cina tidak dibenarkan.

“Sambutan perayaan hanya dibenarkan di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja. Bagi aktiviti majlis ‘makan besar’ bersama keluarga juga hanya dibenarkan di rumah kediaman bersama ahli keluarga dari rumah yang sama sahaja.

Manakala upacara sembahyang di tokong adalah tidak dibenarkan kecuali hanya lima orang ahli jawatankuasa tokong sahaja yang dibenarkan.” katanya dalam sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Tahun Baharu Cina akan disambut pada 12 dan 13 Februari ini.

Jelasnya, semua penganut dan masyarakat Cina digalakkan melakukan upacara sembahyang di rumah masing-masing. Manakala aktiviti ziarah rumah ke rumah serta rentas daerah dan negeri bagi merayakan Tahun Baru Cina juga tidak dibenarkan.

Bagaimanapun bagi prosedur operasi standard bagi Negeri Sarawak yang berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula akan diumumkan oleh kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment