Memoir itu karut, fitnah, tidak tepat?

SEMAKIN panas reaksi terhadap buku “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara Tommy Thomas (TT). Sama seperti larisnya buku itu bagaikan pisang goreng panas, begitu jugalah tindak balas terhadap buku itu.

Khabarnya Jumaat ini buku itu akan kembali ke pasaran selepas kehabisan stok sebaik sahaja diedarkan.

Menurut Gerakbudaya, buku itu kehabisan stok akibat permintaan luar biasa.

Memoir setebal 500 muka surat itu menceritakan pencapaian dan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, dengan antara isu utama lain termasuk  pendakwaan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah kontroversi, Zakir Naik dan peletakan jawatan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Pastinya ramai yang tidak sabar mendapatkan buku itu dalam edisi cetak untuk membaca dan melihat sendiri pelbagai isu yang didakwa karut, tidak tepat dan berunsur fitnah. Tidak kurang juga ada perkara yang tidak sewajarnya didedahkan dimuatkan dalam memori itu. Elok kita tunggu hasil siasatan polis.

Mengulas mengenai buku ini,  Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, ada perkongsian yang mengundang tindakan di bawah sistem perundangan. Dan ada pandangan yang jika tidak menyalahi undang-undang pun, amat tidak sesuai datang dari seorang bekas peguam negara.

Katanya lagi: Satu perkara hampir pasti. Dengan buku anda, anda bukan hanya telah menghina ramai pihak, malah menghina institusi peguam negara yang anda sendiri pegang suatu ketika dahulu.

Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah pula melalui Harakahdaily berkata, biasanya  memoir, adalah perkara yang benar belaka, berasaskan pengalaman yang dilalui, bukan fitnah atau perkara yang tidak betul. 

Tetapi ini bukan memoir, bukan juga memori, melainkan memodal, memo bedal.

Bekas Perdana Menteri, Najib Razak pula menuntut Tommy Thomas memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berbaur fitnah terhadapnya berhubung pembunuhan seorang wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dalam buku itu.

Firma guaman Tetuan Shafee & Co, yang mewakili Najib, dalam surat tuntutan, berkata ia telah diarahkan untuk menuntut agar kenyataan itu ditarik balik dengan jelas daripada buku itu dan permohonan maaf sepenuhnya bagi fitnah dalam bab 42 di bawah tajuk ‘Altantuya.’

“Anak guam kami juga telah mengarahkan kami agar menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada anda bagi kecederaan terhadap reputasinya serta aku janji untuk tidak mengulangi dakwaan dan komen terbabit,” katanya. 

Begitu juga dengan bekas Peguam Cara III Mohamad Hanafiah Zakaria yang membuat laporan polis berhubung dakwaan fitnah terhadap dirinya oleh bekas Peguam Negara itu.

Mohamad Hanafiah dalam laporan itu menyatakan petikan buku itu pada muka surat 248 adalah tidak benar dan mempunyai konotasi bahawa dirinya tidak berkemampuan mengetuai serta menyelia pasukan pendakwaan dalam kes berkaitan dana SRC International yang melibatkan Najib.

Dr Mahathir pula mendakwa bekas Peguam Negara itu tidak tahu menahu tentang peletakan jawatannya sebagai perdana menteri pada tahun lepas.

Dalam jawapan balas sebanyak 35 perenggan yang disiarkan di blognya, Dr Mahathir turut menjelaskan, nama Dr. Wan Azizah Wan Ismail langsung tidak disebut sebagai perdana menteri interim.

Dr Mahathir juga menegaskan dakwaan Tommy bahawa nama Wan Azizah pernah dicadangkan sebagai perdana menteri interim sebagai karut.

“Tommy tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan saya. Menurut Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Interim (sementara).

Ini cerita karut. Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan saya, Agong cadangkan saya sebagai Perdana Menteri Interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai Perdana Menteri Sementara,” katanya.

Sementara itu Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) menyatakan bantahan tegas atas penulisan Tommy Thomas yang menghina Pegawai Undang-undang secara keseluruhan.

Jawatankuasa Eksekutif JALSOA dalam satu kenyataan berkata tindakan bekas Peguam Negara itu yang menggelarkan Pegawai Undang-undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran, adalah bersifat jahat malah menghina Pegawai Undang-undang secara keseluruhannya.

JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan beliau itu.

Related posts

Leave a Comment