1,058,626 kanak-kanak lengkap vaksinasi

PUTRAJAYA 16 Mei – Sebanyak 1,058,626 atau 29.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini lengkap menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-Kanak (PICKids), setakat semalam.

Menurut laman web COVIDNOW, seramai 1,644,027 kanak-kanak atau 46.3 peratus daripada kumpulan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sebanyak 11,766 lagi kanak-kanak tampil mendapatkan dos kedua bagi melengkapkan vaksinasi mereka manakala 9,015 lagi mendapatkan dos pertama masing-masing.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun pula, 2,904,772 (93.4 peratus) sudah lengkap menerima vaksinasi, manakala 3,002,404 (96.5 peratus) dari kumpulan sama menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dalam tempoh sama, sejumlah 16,064,239 atau 68.3 peratus golongan dewasa menerima dos penggalak, manakala 22,971,113 (97.6 peratus) lengkap dua dos dan 23,246,597 (98.8 peratus) menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Bagi pemberian dos harian pula, sebanyak 23,148 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam membabitkan 9,511 dos pertama, 12,441 dos kedua dan 1,196 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 70,678,279.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, tiga kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan dua kes di Johor dan satu di Selangor.

Related posts

Leave a Comment