Menteri, mufti Singapura terima vaksin

SINGAPURA 2 Feb. – Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli hari ini menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Poliklinik Tampines.

Turut sama beberapa Anggota Parlimen Melayu/Islam serta Mufti Negara Dr Naziruddin Mohd Nasir.

“Saya serta rakan-rakan Anggota Parlimen Dr Maliki Osman dan Zaqy Mohamad sudahpun mendapatkan vaksin Covid-19. Begitu juga Mufti serta Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Esa Masood.

“Saya difahamkan para pemimpin kanan berbilang agama lain juga divaksinasi minggu ini,” kata Masagos dalam catatan Facebooknya hari ini.

Masagos yang berkongsi pengalaman menerima suntikan vaksin itu berkata sebelum disuntik, kesihatan mereka diperiksa dan menyifatkannya  sebagai “cepat dan mudah sekali”.

“Tahun lalu, MUIS mengeluarkan Irsyad bahawa vaksin Covid-19 dibenarkan untuk kegunaan orang Islam kerana ia merupakan keperluan asas demi melindungi nyawa dalam usaha kita membasmi wabak global ini.

“Saya ingin tekankan nasihat Pejabat Mufti bahawa vaksin yang dikeluarkan ini sejajar dengan prinsip dan nilai-nilai Islam,” katanya.

Beliau difahamkan ada sebilangan warga senja tidak mahu disuntik kerana risau tentang kesan sampingannya terhadap kesihatan mereka.

“Jangan khuatir. Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) memastikan bahawa keselamatan anda diutamakan. Dan apabila anda mendapatkan vaksinasi, anda bukan sahaja melindungi diri anda sendiri, tetapi juga ahli keluarga dan orang-orang di sekitar anda supaya Singapura bertambah selamat,” katanya.

Akhir catatan, Masagof berkata : Jadi jangan ragu-ragu. Dapatkan suntikan apabila tiba masanya.

Sementara itu dalam catatan Instagramnya, Mufti Negara Dr Naziruddin Mohd Nasir menyifatkan usaha mendapatkan suntikan vaksin sebagai tanggungjawab terhadap agama di tengah-tengah situasi yang sangat mencabar

“Saya selalunya lebih cenderung memilih cara semula jadi untuk mempertingkatkan keimunan saya, menerusi senaman dan pemakanan baik, dan saya juga perlukan kepastian bahawa vaksin itu adalah selamat dan berkesan.

“Selepas melakukan penyelidikan sendiri, saya memutuskan untuk mengambil vaksin dan saya yakin ia selamat dan ini adalah sumbangan kecil saya untuk saling melindungi diri sendiri.

“Pandemik ini sudah meragut nyawa ramai orang dan saya juga mahu memainkan peranan dalam membantu melawan virus ini. Saya melihatnya sebagai tanggungjawab agama yang disebabkan oleh situasi yang sangat mencabar sekarang,” kata Dr Nazirudin.

Related posts

Leave a Comment