Singapura kekal dengan kes import

SINGAPURA 1 Feb. – Singapura melaporkan 29 kes baharu Covid-19 hari ini, sama seperti direkodkan semalam menjadikan jumlah kes 59,565.

Menurut Kementerian Kesihatan, semua kes import itu telah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik saja mereka tiba di sini.

Tiada kes baharu dicatatkan dalam kalangan masyarakat setempat.

Daripada kes-kes baharu yang dilaporkan itu, 26 kes tidak bergejala, manakala tiga yang lain menunjukkan simptom jangkitan.

Dua daripada kes-kes import itu melibatkan rakyat Singapura dan tiga adalah Penduduk Tetap (PR) yang pulang dari India dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Tiga kes pemegang pas tanggungan yang juga tiba dari India dan UAE manakala

dua kes adalah pemegang pas lawatan jangka panjang dan lagi empat kes adalah pemegang pas kerja yang tiba dari India.

Sepuluh daripada kes import adalah pemegang permit kerja yang tiba dari India, Indonesia dan Myamar, termasuk enam pembantu rumah asing sementara baki lima kes adalah pemegang pas lawatan jangka pendek.

Sebanyak 43 kes dibenarkan keluar hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya 59,271 orang.

Ketika ini terdapat 45 kes yang masih berada di hospital dan sebahagian besar dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih. Angka kematian pula kekal 29.

Secara keseluruhannya, jumlah kes baharu dalam masyarakat sudah berkurangan dari 13 kes pada minggu sebelumnya kepada tiga kes pada minggu lalu.

Sementara itu, lebih daripada 155,000 individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Singapura sehingga 31 Januari.

Menurut Menteri Kanan Kesihatan Janil Puthucheary, dalam kalangan mereka yang telah menerima vaksin tersebut, empat kes anafilaksis dilaporkan, yang menjadi permulaan reaksi alergi yang teruk.

“Seorang diletakkan di bawah pemerhatian untuk beberapa jam, manakala yang lainnya telah dibenarkan keluar hospital selepas pemerhatian sehari atau rawatan. Tiada yang memerlukan bantuan Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Related posts

Leave a Comment

error: Content is protected !!