MUIS uji dakwaan produk ‘DNA babi’

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah menjalankan pemeriksaan ke atas kilang pengeluaran produk makanan syarikat Li Chuan dan sudah mendapatkan sampel produk-produk terjejas pada 27 Januari lalu.

“Sampel-sampel tersebut sudah pun dihantar untuk diuji di makmal-makmal bertauliah. MUIS akan menilai langkah susulan sewajarnya sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan,” kata MUIS dalam satu kenyataan semalam.

Langkah itu diambil setelah MUIS, pada 25 Januari, dimaklumkan tentang penemuan DNA babi pada dua produk makanan keluaran syarikat Li Chuan susulan ujian yang dijalankan Jabatan Ehwal Agama Brunei ke atas produk Li Chuan Fish Ball and Li Chuan Cuttlefish Ball.

“Sementara menantikan keputusan siasatan, syarikat tersebut (Li Chuan Food Products Pte Ltd) bersetuju dengan permintaan MUIS supaya ditarik balik penjualan produk-produk terbabit daripada pasaran Singapura dan menghentikan eksport produk-produk itu ke luar negara,” tambah MUIS.

Menurut MUIS, penemuan sisa DNA babi dalam produk-produk terjejas berlaku ketika ujian rambang DNA dijalankan terhadap produk-produk sebagai sebahagian daripada ujian rutin oleh pihak berkuasa Brunei.

Menurut MUIS lagi, amalan itu berbeza daripada pendekatan yang diambil dalam proses pensijilan Halal MUIS di mana pendekatannya adalah untuk melakukan ujian rambang terhadap produk-produk makanan yang berisiko tinggi seperti produk daging yang diproses dan produk berasaskan daging yang diproses.

Pemeriksaan MUIS pula tertumpu pada bahan-bahan yang digunakan, proses penghasilan dan penyediaan, kemudahan dan rekod pematuhan.

Related posts

Leave a Comment