Bersedia lakukan perubahan vaksin

WASHINGTON: Para saintis perlu “lincah” dan bersedia melakukan perubahan terhadap vaksin dalam menghadapi penyebaran mutasi Covid-19 walaupun mutasi setakat ini masih boleh dilindungi vaksin.

Pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci berkata, sememangnya sifat virus adalah sering bermutasi bagi memudahkan penyebarannya.

Justeru, pembuat vaksin perlu bersedia menghasilkan dos baharu dalam menghadapi peningkatan penyebaran mutasi Covid-19 ketika ini.

Dalam taklimat Covid-19 di White House, beliau berkata, penularan tergempar ini merupakan peringatan kepada semua agar sentiasa berusaha mengikuti mutasi virus dan bersedia berhadapan dengan virus yang akan sentiasa berubah bagi menjangkiti manusia.

“Kita semua, dari pihak kerajaan kepada syarikat pembuat vaksin perlu berganding bahu dan sentiasa bersedia untuk menghasilkan vaksin yang sesuai atau yang lebih khusus terhadap varian baharu virus berkenaan,” katanya

Beliau juga menegaskan adalah penting untuk memberi vaksin kepada seberapa banyak orang secepat mungkin bagi mengelakkan mutasi baharu tercetus dan berkembang.

Para doktor dan pegawai kesihatan awam sebelum ini diingatkan harus merawat setiap kes baharu Covid-19 seolah-olah ia mutasi baharu.

Related posts

Leave a Comment