Singapura gantung RGL Malaysia

SINGAPURA menggantung laluan hijau timbal balik (RGL) dengan Malaysia, Jerman dan Korea Selatan untuk tempoh selama tiga bulan mulai esok 1 Februari 2021.

Sebelum ini RGL dengan Jepun dan Indonesia digantung pada Disember 2020.

Kementerian Ehwal Luar Singapura dalam satu kenyataan menyatakan: “Pemerintah Singapura mengkaji semula secara tetap langkah-langkah kawalan sempadannya bagi menangani risiko kes jangkitan import dan susulan itu penyebaran dalam masyarakat dari para pelawat.

“Oleh kerana kes Covid-19 meningkat semula di seluruh dunia, Pemerintah Singapura akan menggantung aturan Laluan Hijau Timbal Balik dengan Jerman, Malaysia dan Korea Selatan, bagi tempoh tiga bulan bermula dari Isnin, 1 Februari 2021, 12.01 tengah malam.

“Pemerintah Singapura akan mengkaji semula aturan Laluan Hijau Timbal Balik di akhir tempoh penggantungan. Para pelawat yang sudah diberi kelulusan untuk memasuki Singapura di bawah Laluan Hijau Timbal Balik boleh terus berbuat demikian,” menurut kenyataan itu.

Pemerintah Singapura akan terus memantau situasi global dan menyesuaikan langkah-langkah sekatan sempadan untuk menangani risiko kes-kes import dan penularan dalam masyarakat.

“Sebarang perubahan pada langkah-langkah sempadan akan dikemas kini di laman web SafeTravel. Para pelawat dinasihati supaya melayari laman itu untuk memeriksa langkah sempadan terkini,” katanya.

Setakat ini Singapura masih meneruskan laluan hijau timbal balik dengan Brunei dan bandar-bandar terpilih di tanah besar China.

Related posts

Leave a Comment