Jangan biarkan ‘api itu menyala’

KETIKA membaca kenyataan mengenai penahanan seorang remaja di Singapura di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini, timbul persoalan sama ada benar apa yang berlaku. Berkali-kali membaca dan menyemak kenyataan panjang lebar oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD).

Bimbang tersalah faham. Hakikatnya memang benar. Satu berita yang mengejutkan apabila remaja kaum India berusia 16 tahun itu, bercita-cita melakukan keganasan ke atas dua buah masjid , Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak, sama seperti serangan masjid di Christchurch, New Zealand, dua tahun lalu.

BACA berita  1.Remaja rancang serang dua masjid  2. Reaksi kes remaja ditahan ISA dan 3. Remaja dapatkan khidmat peguam

Ramai pemimpin agama dan pertubuhan yang terkejut dengan hasrat remaja itu. Namun mereka tidak ‘melatah’ dengan memberi pelbagai pandangan atau reaksi yang boleh mempertikaikan keseriusan remaja itu sehingga ia dikenakan tahanan ISA. Tidak kedengaran mereka bangkit ‘mempertahankan’ remaja itu.

Bagi kebanyakan orang, mungkin menganggap apakah yang boleh dilakukan oleh remaja yang masih muda itu? Persiapannya hanya setakat membeli jaket dan merancang mendapatkan parang (selepas sukar memperoleh senapang). Mungkin sekadar ‘suka-suka’ sesuai dengan naluri remaja membeli secara on-line.

Sukar dipercayai bagaimana remaja itu mampu untuk melakukannya. Namun ISD sudah tentu lebih pantas menghidu situasi ini dengan pendekatan ‘cegah sebelum parah’, bertindak lebih awal, membaca segala kemungkinan. Bukannya bersikap lihat ‘sebelah mata’ hanya kerana usia atau persiapan yang masih di peringkat awal.

Seperti kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Undang-Undang Singapura K. Shanmugam : “Budak lelaki ini berusia 16 tahun tetapi dia sangat serius,” .

“Gerak hati ganas ini, saya menyatakannya banyak kali, bukan terbatas pada kaum tertentu atau kumpulan agama tertentu sahaja. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia sebenarnya berlaku apabila seseorang itu terdedah pada ucapan berbaur kebencian dan kemudian dipengaruhi olehnya,” katanya.

Tindakan awal ISD seperti ini amat penting. Jika remaja itu berjaya ‘melakukan’ walaupun sekadar ‘menceroboh’ masjid dengan parang tanpa mencederakan sesiapa atau sekadar merosakkan sesuatu di dalam masjid, sudah pasti akan tercetus sesuatu yang lebih ‘menyulitkan’ kepada pihak berkuasa.

“ Jika serangan itu berjaya, ia kemungkinan akan mengapi-apikan keadaan dengan timbulnya rasa takut dan konflik antara kumpulan berlainan kaum dan agama di Singapura,” kata Shanmugam.

Kebimbangan Shanmugam ada kebenarannya. Keharmonian kaum dan agama akan rosak sekiranya perkara itu berlaku walaupun sekadar merosakkan sesuatu di dalam masjid oleh seseorang bukan Islam. Begitu jugalah sebaliknya jika dilakukan oleh orang Islam terhadap tempat ibadat bukan Islam.

Justeru, langkah ‘memadam api yang kecil’ itu amat penting. Jangan dibiarkan ia terus menyala dan membakar. Isu-isu berkaitan agama dan kaum perlu ditangani segera walaupun pada awalnya kelihatan seperti tiada apa-apa atau seseorang itu dianggap tidak serius, tidak matang, mengalami kecelaruan jiwa atau sakit mental.

Dalam hal berkaitan agama dan kaum, jangan pandang ringan atau mengambil masa yang terlalu lama untuk bertindak. Gerak geri mereka yang condong kearah terpesong atau tersasar perlu ditangani segera seperti dilakukan ISD Singapura terhadap kes remaja ini.

Kita percaya di mana-mana negara ada pasukan yang bertanggungjawab melakukan risikan seumpama ini sebaik sahaja ‘menghidu’ sesuatu yang menimbulkan keraguan. Zaman sekarang tindak tanduk secara senyap berlaku melalui media sosial yang ‘bergerak’ seperti api dalam sekam.

Pihak berkuasa tidak perlu menunggu sesuatu isu itu tular di media sosial., tidak perlu menanti aduan rasmi dan sebagainya. Bagi ajaran sesat misalnya, jangan sampai ia berputik dan berbunga. Jangan sampai ada pengikut dan bebas mempromosikan sesuatu yang menyeleweng.

Sikap tunggu dan lihat kerana terlalu terikat dengan seseorang itu tidak bersalah sebelum terbukti bersalah menjejaskan tindakan. Bertindaklah lebih awal terhadap mereka yang disyaki ‘merancang’ melakukan sesuatu dengan menyebarkan fahaman yang salah, menyeleweng dan memudaratkan kehidupan masyarakat.

Andai mereka ini tidak boleh ditahan, sekurang-kurangnya bertindak melalui kaunseling apabila berlaku tindak tanduk yang meragukan.

Amat malang jika dalam hal-hal sebegini lebih ramai yang tampil mempertikaikan tindakan pihak berkuasa dan mempertahankan keputusan atau tindakan yang dianggap salah. Ada yang bagai menegakkan benang yang basah atas nama kebebasan bersuara atau hak asasi.

Lebih malang jika ada golongan yang tidak boleh diusik atau terusik walaupun realitinya mereka ini menjurus ke arah melakukan kesalahan, melanggar undang-undang yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama.

Agak parah jika orang politik bangkit mempertahankan pihak berkenaan yang hakikatnya bertindak melanggar undang-undang. Ingatlah jika hidup ini berpandukan undang-undang, tidak banyak masalah timbul. Kadangkala pertimbangan politik merosakkan peraturan atau undang-undang.

Related posts

Leave a Comment