Gelombang perubahan, jayakan Muafakat Nasional 2.0

SEPANG 3 Jun – Sudah sampai masanya Muafakat Nasional 2.0 dijayakan bagi memperkukuh kedudukan politik Melayu serta umat Islam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diikuti beberapa PRN yang bakal berlangsung.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti politik Melayu sebelum ini wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.

Justeru beliau berharap parti-parti utama, khususnya parti Melayu dapat berfikir secara serius, berlapang dada, mengenepikan perbezaan serta meletakkan masa depan bangsa dan ummah sebagai keutamaan.

“Usaha penyatuan ini perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor, dan terus diperkukuh pada masa hadapan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau menarik perhatian bahawa parti-parti politik Melayu pernah bersama selepas peristiwa 13 Mei, apabila Barisan Nasional (BN) terbentuk manakala Muafakat Nasional  terbentuk akibat kebimbangan terhadap usaha kerajaan PH ketika itu yang dilihat boleh menghakis keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata, pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu bukan setakat mengembalikan hak memilih kepada rakyat tetapi membuka ruang kepada satu gelombang perubahan baharu dalam landskap politik negara.

Katanya, ia satu peralihan yang berpotensi mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini seterusnya mampu membentuk kekuatan politik Bumiputera, bukan sahaja di Semenanjung, bahkan juga di Sabah dan Sarawak.

Usaha penyatuan ini perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor dan terus diperkukuh pada masa hadapan.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, penyatuan itu hanya dapat dicapai sekiranya wujud muafakat dan toleransi antara parti-parti politik utama Melayu-Islam di negara ini.

Beliau berkata, beberapa isu yang menyentuh kepentingan orang Melayu dan umat Islam perlu diberi perhatian serius, termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), bantahan terhadap titah Raja-Raja Melayu, penukaran status tanah di kawasan majoriti bukan Melayu serta cabaran terhadap enakmen syariah negeri-negeri.

Katanya, perpecahan politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan sedia ada memberi kesan kepada kedudukan politik orang Melayu pada hari ini dan seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya Pas dan UMNO, untuk segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur.

Tegas Tuan Ibrahim,  Islam perlu menjadi paksi utama dalam usaha penyatuan politik Melayu kerana agama itu merupakan faktor yang menyatukan ummah.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment